Friday, December 26, 2008

Corat Coret

To Be Or Not To Be

Isu PPSMI sekarang ini menjadi isu hangat selain isu hudud di negara Malaysia iaitu samada diteruskan atau tidak. Saya secara peribadi berharap dan berdoa agar pihak-pihak yang berselisih pendapat memikirkan masa depan rakyat Melayu apabila menimbulkan sesuatu isu dan bukan untuk meraih keuntungan politik sahaja.

PPSMI telah dirangka dengan objektif untuk memahirkan bahasa teknologi yang terasnya sains dan matematik yang secara tidak langsung dikuasai dan dipelopori oleh negara barat. Jika kita lihat 90% dari buku teks di Pengajian Tinggi adalah didalam bahasa Inggeris dan saya percaya PPSMI adalah antara lain persediaan yang amat bagus untuk pelajar yang melanjutkan pelajaran.

Saya tidak nafikan didalam membuat suatu perubahan akan ada pros dan cons tetapi jika pros melebihi cons maka seharusnya PPSMI diteruskan. Tidak dapat tidak PPSMI ini dibuat adalah dengan niat untuk memajukan Melayu dan bukan sebaliknya tetapi malangnya ianya ditentang oleh segolongan orang Melayu sendiri. Mungkin alasan bahasa Melayu akan terhakis sekiranya PPSMI diteruskan adalah lebih besar dari masa depan Bangsa maka andalah membuat keputusan. Tetapi saya secara peribadi apabila lebih kurang 80% matapelajaran diajar didalam bahasa Melayu merasakan alasan penghakisan bahasa Melayu adalah amat tidak wajar.

Ianya amat membingungkan jika Tun Mahathir yang pernah digelar Malay Ultra yang memperkenalkan PPSMI merangka PPSMI untuk menjatuhkan orang Melayu. Tun Mahathir dalam ucapannya yang terakhir sebelum meletakkan jawatan telah dengan tangisan air mata mengatakan 'saya telah memberikan kamu segala-galanya' kepada rakyat Melayu dan jika bangsa Melayu masih lagi menahan dan menolak dasar yang memajukan bangsa maka jangan salahkan sesiapa diatas kemunduran kita.


Hujan


Di Kelantan minggu ini, lebih kurang seminggu hujan telah tidak henti-henti turun dari pagi hingga ke petang tetapi alhamdulillah tiada kejadian banjir yang berlaku.

Walaubagaimanapun berfikir sejenak kita amatlah beruntung dan wajib bersyukur dihujani air berbanding saudara kita di Palestin yang dihujani peluru dan mortar dari hari ke sehari. Minggu ini suratkhabar telah memberitakan kekejaman Israel yang telah membunuh berpuluh-puluh dan mencederakan beratus-ratus rakyat Palestin sekarang ini. Semoga rakyat Palestin berpegang teguh kepada perjuangan mereka dan didoakan keselamatan dan keamanan serta hak mereka dikembalikan. Didalam isu Palestin, mungkin telah tiba masanya UMNO dan PAS bersatu dan bersetuju diatas satu perkara yang sama. InsyaAllah.

Selamat Maal hijrah dan Tahun 2009.

Semoga Ummah Islam bersatu dan kita memperoleh kejayaan dan kegemilangan pada tahun baru dan juga tahun yang mendatang. Insya Allah.

Tuesday, December 23, 2008

Nasib Labu Labi

Saya sempat menonton wacana perdana di internet yang menampilkan tokoh muda dari PAS dan UMNO iaitu Dato' Husam dan En. Khairy pada 20hb Disember 2008 di Balai Islam, Kota Bharu, Kelantan. Apa yang menarik minat saya untuk menonton wacana perdana tersebut adalah kerana ianya melibatkan orang muda yang paling infamous di Malaysia iaitu KJ yang penuh dengan kontroversi berentap dengan orang kuat PAS iaitu Dato' Husam.

Apa yang dapat saya bayangkan ketika mereka berdebat adalah komedi situasi arahan Tan sri P. Ramlee dimana Rocky Labu dan Joe Labi berentap bertinju dimana akhir sekali kedua-duanya pengsan sama dengan pengadilnya.

Banyak jawapan yang diberi tidak menjawab soalan dan seringkali serangan kepada karakter digunakan untuk berhujah baik dari sdr. Khairy dan juga Dato' Husam. Ulasan yang boleh saya berikan adalah mereka berdua separa bersedia (half prepared) dan terlalu yakin dengan diri sendiri. Apa yang pasti muka mereka berdua nampak sangat geram sesama sendiri hinggakan prof Aziz Bari (lecturer saya kat UIA) cakap 'saya tak mahu campur ngan politik korang berdua ni'... yang mana sums it all.

Sdr Khairy nampak lega apabila Dato' Husam menjawab kelemahan UMNO didalam mentadbir negara termasuk korupsi adalah punca tsunami politik berlaku dalam pilihanraya. Sebelum jawapan Dato' Husam tersebut, sdr Khairy telah menjawab tsunami politik berlaku kerana kegagalan UMNO merealisasikan janji PRU 2004. Sesiapa yang undi protes pada PRU 2008 tahu apa penyebab terbesar protes tersebut dan mungkin ramai yang tidak setuju jika dikatakan sdr Khairy adalah bukan penyebab terbesar undi protes tersebut tetapi itu adalah pendapat peribadi saya.

Jawapan kepada soalan Hudud telah menyebabkan kedua-dua penal politik tersebut panas punggung. Bagi sdr Khairy, saya rasakan tidak bersedia dengan soalan yang diajukan kepada beliau yang mana tidak dapat tidak memberi jawapan yang kurang memuaskan dan segera alih tajuk dan jawapan Dato' Husam mungkin anda boleh buat kesimpulan sendiri akibatnya dengan kenyataan Lim Kit Siang dan Karpal Singh serta Lim Guan Eng didalam akhbar baru-baru ini (iya anda telah baca dengan betul iaitu sdr Lim Guan Eng yang ingin mencontohi Umar Abdul Aziz serta menyebut ayat quran dengan lancar).

Pertemuan dua pemimpin ini memang ada baiknya tetapi yang menyedihkan adalah apabila kita melihat dua pemimpin Melayu Islam bertengking leher menuduh antara satu sama lain dan tiada pendapat atau usul yang membina kearah perpaduan melainkan menggalakkan kebencian dan perpecahan.

DAP, MCA dan Gerakan dapat mencari common ground atau persepakatan pendapat apabila isu ketuanan Melayu ditimbulkan dan pernah berlaku ketiga-tiga parti tersebut bersatu membuat protes bersama semasa tahun sekitar lewat 80-an untuk kepentingan kaum bukan melayu.

Tidak tahu kenapa, pemimpin Melayu Islam seolah-olah tidak dapat mencari kesepakatan pendapat didalam perjuangan. Mungkin sudah sampai masanya Pemimpin Melayu Islam bermusyawarah untuk bersatu didalam satu pandangan yang sama dan mengenepikan keegoan masing-masing.

Sebab debat Wacana Perdana ini disertai oleh kedua tokoh ini tidak dapat saya jawab. Mungkin ayat sdr Khairy " saya adalah satu-satunya calon ketua pemuda UMNO yang mencadangkan BPR mengambil peranan mengatasi politik wang" dapat menjawab persoalan anda. Bagi Dato' Husam, mungkin isu kontroversi yang melanda sdr Khairy menjadikan sdr Khairy 'ayam belasahan' untuk menaikkan populariti PR semasa pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang semakin dekat tetapi itu adalah pandangan peribadi saya sahaja.

Yang kalah menjadi arang, yang menang menjadi abu.. kedua-dua telah berjaya membuka pekung didada lawan masing-masing iaitu pekung pemimpin Melayu Islam. Mungkin sejarah boleh membantu dimana apabila berlaku perpecahan sesuatu bangsa hanya satu halatuju yang pasti iaitu jatuh kebawah.

Parti masing-masing akan pasti mencanangkan bahawa tokoh masing-masing telah menang berdebat, itu saya tidak akan campur sebab ini adalah pandangan saya yang atas pagar. Rocky Labu dan Joe Labi pun ada masa mereka bersatu apabila sama-sama pergi meminang untuk haji Bakhil dan mungkin PAS dan UMNO juga boleh duduk semeja untuk mencari kesepakatan. Mesti ada satu perjuangan yang mereka boleh bersetuju bersama dan jika tidak, kita tunggu dan tengoklah apa akibatnya kepada Melayu Islam dinegara ini didalam situasi getir ini.

Kepada Allah tempat berserah!

Saturday, December 6, 2008

Melayu Who?

Isu Melayu telah dijadikan topik utama didalam politik sekarang ini selepas pilihanraya umum Mac 2008. Parti yang bukan majoriti Melayu boleh dikatakan kebanyakkannya bersetuju bahawa ketuanan Melayu adalah tidak perlu dan tidak relevan tetapi ianya tidak boleh diherankan kerana masing-masing adalah parti yang bukan majoritinya Melayu.

Parti yang dikatakan berasaskan perjuangan Islam yang majoritinya melayu telah mula memperjuangkan ketuanan rakyat berdasarkan wawancara harakah dengan Presidennya dimana saya petik:

"Sikap *** adalah jelas melalui kenyataan-kenyataan saya dan ucapan-ucapan saya iaitu ketuanan ini bukan hanya milik orang Melayu tetapi milik semua kaum.

Kalau kita bincang soal ketuanan, ia mestilah ketuanan semua kaum, tak kira Melayu, Cina dan India atau kaum-kaum lain kerana mereka ini juga rakyat negara ini. Jadi *** lebih ke arah memperjuangkan ketuanan rakyat bukan ketuanan satu kaum sahaja"

Didalam blog yang popular Malaysia Today, surat yang terpilih serta tulisan yang disiarkan telah mula mempersoalkan kedudukan melayu sebagai bumiputera dan DEB. Anda boleh layari sendiri blog dan wawancara tersebut. Jangan ambil cakap saya sahaja.

Tetapi adakah itu isu yang sebenarnya menyebabkan BN ditidakkan 2/3 majoriti dan kalah 5 negeri? tepuk dada tanya selera. Cuma bagi saya sedih dan kesian kepada bangsa Melayu kerana telah dijadikan satu isu.

Melainkan UMNO, sudah tidak ada lagi parti yang memperjuangkan bangsa Melayu dan ianya adalah satu fakta. Saya tidak tahu mungkin kerana membenci UMNO menyebabkan bangsa Melayu yang menjadi mangsa.

Ianya mungkin satu taktik yang hebat dan licik dimana kita membunuh sasaran perjuangan untuk menidakkan pejuang tersebut. Apabila kepentingan Melayu ditidakkan maka tujuan penubuhan UMNO adalah tidak relevan lagi. Itu adalah pandangan saya sahaja.

Apabila gajah bergaduh pelanduk mati ditengah2. Yang menjadi mangsa adalah bangsa Melayu didalam perebutan kuasa diantara parti. Percaya atau tidak, bangsa Melayu dijadikan 'collateral damage' didalam perebutan ini.

Dalam situasi ini, perkara yang terbaik adalah bersatu dan menyatakan kami bangsa Melayu dengan keistimewaannya adalah bukan masalah kamu yang inginkan kuasa. Sekiranya ada keburukan UMNO adalah bukan salah perjuangannya tetapi kerana pemimpinnya.

Untuk 51 tahun Malaysia telah merdeka dan penentangan Malayan Union menjadi sejarah dimana keharmonian kaum telah menjadi irihati negara lain yang berbilang kaum tetapi kerana kuasa kita cuba merosakkannya.

Yang menjadi persoalan ialah kenapa sistem sekarang telah berjaya mengekalkan keharmonian kaum selama 51 tahun dan secara tiba-tiba sistem tersebut sudah tidak berguna lagi selepas pilihanraya Mac 2008? ada pepatah inggeris mengatakan 'if its not broken don't fix it'. Sejauh mana kebenaran tersebut anda tentukan.

Saya tidak ingat bila masa ketuanan melayu dipersoalkan sebelum pilihanraya Mac 2008. Boleh sekiranya mana-mana pembaca mempunyai artikel atau kejadian protes atau persoalan melayu di persoalkan mengemukakan kepada saya?

Yang seingat saya adalah protes minyak naik, ketidak cekapan pentadbiran Pak Lah dan antara lainnya adalah kronisme KJ dan anak beranak Pak Lah yang menjadi isu pilihanraya Mac 2008 dan bukan ketuanan Melayu.

Ianya sudah tiba masanya bangsa Melayu celik semula daripada tidur. Kita telah tidur selepas penentangan Malayan Union berjaya, Kita telah tidur selepas kemerdekaan dicapai dan ianya sudah masanya untuk kita kembali bangun semula. Bangun dari tidur untuk menghadapi realiti kehidupan!

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Esok seluruh umat Islam di Malaysia akan menyambut selamat hari raya Aidil Adha dan dikesempatan saya mengucapkan selamat hari raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan diseluruh dunia amnya.

Kepada rakyat Kelantan yang balik kampung, saya harap dan doakan keselamatan anda semua di jalanraya semoga selamat sampai ke kampung masing-masing, cukuplah lembu sahaja yang menjadi korban hari raya.

Kelmarin tragedi tanah runtuh telah berlaku di Bukit Antarabangsa, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan takziah serta diharap tabah. Kejadian tersebut amat menyayat hati apabila ianya berlaku dua hari sebelum hari raya dan sebagai ingatan agar kita sentiasa mengingati serta mensyukuri nikmat yang Allah berikan.

Raya Aidil Adha adalah unik dimana lembu atau kibas disembelih untuk disedekahkan kepada orang yang kurang berkemampuan dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Oleh itu selamat berkorban dan bagi Umat Islam yang menunaikan haji agar mereka selamat menunaikan ibadah haji dan diberikan berkat haji mabrur. InsyaAllah...

Monday, December 1, 2008

Corat Coret

Banjir

Semasa posting ini dibuat, hujan telah pun semakin reda dan dengarnya air disungai2 utama telah semakin surut, minta maaf adik-adik mungkin tahun ini tak dapat main air banjir.

Saya telah bersiap dengan kamera untuk mengambil gambar menarik untuk pembaca diluar tetapi minta maaf dan alhamdulillah kerana banjir tak jadi maka tak de lah gambar untuk makluman warga Pulai Chondong luar Kelantan.

Bercerita tentang musim tengkujuh ni saya masih teringat masa kecil dahulu dimana setiap kali musim hujan maka abah saya akan kerap keluar ke padang serta sawah mencari ikan darat i.e ikan puyu, haruan dll. Ma saya akan menyediakan masakan ikan yang ditangkap maka dalam satu hari akan ada menu ikan haruan goreng dan ikan haruan gulai asam pedas dalam satu masa. Dalam seminggu tidak payah pergi kepasar beli ikan. Saya pula hanya reti main hujan ajelah dengan abang2 saya. The good old days!

Sekarang ni abah saya masih lagi mencari ikan darat jika hujan tetapi tidak sehebat dahulu, mungkin faktor usia menyebabkan beliau kurang bergiat mencari ikan tidak seperti dahulu dan saya serta abang2 saya dah tak main hujan lagi. Tetapi taktik yang popular untuk orang dewasa bermain hujan sekarang adalah alasan bermain bola dalam hujan dan taktik tersebut setakat ini berjaya mengaburi mata penduduk kampung daripada mengata orang dewasa seperti saya kemaruk bermain hujan.

Mengikut ramalan cuaca, hujan akan berterusan sehingga hujung minggu ini. Sekarang ini hanya tunggu dan lihat ajelah samaada ramalan tersebut betul atau tidak tetapi cuaca masih lagi mendung dan kemungkinan banjir masih lagi ada.

Thursday, November 27, 2008

UMNO Today

Sekarang isu politik yang hangat diperkatakan adalah pemilihan UMNO yang telah ditunda ke Mac 2009. Politik Wang, Shahrizat v Rafidah, Pak Lah berundur, D.S Najib akan memimpin UMNO dll.

Saya amat sedih melihat UMNO sekarang yang tergapai-gapai cuba menyelamatkan diri akibat daripada perbuatan tingkah laku pemimpin UMNO sendiri.

Samaada kita suka atau tidak, tidak dapat dinafikan bahawa UMNO selama lebih kurang 50 tahun ini adalah sinonim dengan Melayu dan kemerdekaan negara Malaysia. Kita adalah hasil kemerdekaan dan pentadbiran yang didokong oleh UMNO selama 50 tahun merdeka dan bagi kebanyakkan orang melayu yang berjaya sekarang ini tidak dapat tidak mereka terhutang budi kepada dasar ekonomi baru yang dilaksanakan oleh UMNO di negara ini.

Pesanan Lukman al-Hakim yang antara lainnya menyebut hendaklah kita ingat akan perbuatan baik orang lain kepada kita. Jasa UMNO dalam memegang pentadbiran adalah tidak dapat dinafikan bermula dari Tunku Abdul Rahman sehinggalah semasa pentadbiran Tun Mahathir dan jika kita gagal menghargai jasa tersebut maka adalah amat malang kita ini kerana dunia sendiri mengakui kepimpinan didalam UMNO lebih lagi dizaman Tun Mahathir tetapi kita sendiri yang gagal mengenali permata dihadapan mata kita.

Persoalan adakah perlu UMNO diselamatkan atau ianya hendaklah dibiarkan tenggelam arus dimana perubahan tidak dilaksanakan untuk menyelamatkannya dan matilah sebuah pertubuhan yang berasaskan perjuangan bangsa Melayu hendaklah dijawab sendiri oleh semua bangsa Melayu. Tepuk dada tanya selera.

Antara langkah yang terbaik untuk menyelamatkan UMNO adalah menarik ramai golongan intelektual untuk menerajui UMNO, bersikap nationalistik serta mempunyai visi untuk memajukan negara disamping memahami masalah dan halatuju Malaysia yang berbilang kaum.

Tun Mahathir telah cuba melaksanakan visi beliau dimana beliau mengenalpasti masalah melayu didalam buku beliau The Malay Dilemma dimana beliau cuba menaiktarafkan status ekonomi bangsa melayu setaraf dengan bangsa bukan melayu serta status negara Malaysia yang antara lain meneruskan dasar ekonomi baru. Samada Tun berjaya atau tidak, ianya untuk kita semua membuat keputusan. Kita mempunyai masa dan sejarah untuk menjadi rujukan didalam membuat pertimbangan.

Ianya amat mudah untuk mengkritik tetapi bukan mudah untuk menjadi pemimpin. Pengkritik hanya mengkritik tetapi jarang yang memberi satu cadangan atau idea yang membantu serta tidak mempunyai tanggungan atas apa yang dikritik. Seorang pemimpin selain perlu mencari idea serta membuat keputusan, beliau juga harus bertanggungjawab atas apa-apa keputusan yang beliau buat.

Saya rasa selepas pilihanraya umum mac 2008 baru-baru ini ramai yang menjadi pengkritik kerajaan dan termasuk 'yours truly' disini tetapi adakah ramai yang cuba memahami masalah negara dan memberi pandangan yang positif didalam memahami dan menyelesaikan masalah negara.

p/s: saya kecualikan pentadbiran Pak Lah daripada kejayaan UMNO kerana ianya adalah perbahasan 'non-event' dan pentadbiran serta halatuju negara serta keharmonian kaum telah rosak teruk diakibatkan oleh penasihat beliau yang mana boleh dinilai memundurkan negara dengan monopoli keluarga keatas kekayaan negara. Mungkin apa yang saya katakan ini tidak dipersetujui oleh semua orang tetapi anda sekali lagi mempunyai masa dan sejarah untuk menilai serta bahagian yang paling best adalah anda sedang melalui zaman tersebut sekarang.

Wednesday, November 26, 2008

Sistem Sosial Kampus Pengajian

Saya adalah produk pelajar daripada SMA Maahad Muhammadi (L), Pengkalan Chepa, Kelantan semasa sekolah menengah dan antara golongan anak kampung Pulai Chondong yang bernasib baik dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1999 dan menamatkan pengajian jurusan undang-undang pada tahun 2003.

Di UIAM, para pelajar telah ditempatkan asrama/tempat tinggal didalam kampus dan diwajibkan menetap di asrama yang ditetapkan. Sepanjang masa belajar di UIAM, rakan sebilik saya adalah rakan sekelas saya dalam jurusan undang-undang sehinggalah pengajian saya tamat.

Semasa berada di UIAM rakan sekolah menengah di Maahad lebih kurang 40 orang juga telah dapat melanjutkan pelajaran di UIAM dalam pelbagai jurusan bersama saya. Ini menyebabkan saya membahagi masa diantara rakan sebilik yang baru dengan rakan lama satu sekolah.

Sistem rakan sebilik dan sama jurusan adalah bagus dimana pelajar-pelajar dapat belajar bersama dalam satu bilik dan berbincang. Walaubagaimanapun untuk persediaan selepas tamat belajar dan memasuki alam pekerjaan adalah amat berbeza dan memerlukan pendekatan yang berlainan.

Apabila kita hanya sebilik dengan rakan yang sama jurusan maka rangkaian hubungan kita akan hanya terhad kepada rakan yang sama jurusan sahaja. Oleh yang demikian, peluang pekerjaan dan rangkaian hubungan adalah terhad apabila memasuki alam pekerjaan. Perkara yang sama juga berlaku apabila kebanyakkan siswa dan siswi hanya berkawan dengan rakan sekelas atau sama jurusan sahaja.

Saranan saya kepada yang masih belajar agar kembangkan rangkaian rakan anda dan bukan tertutup kepada rakan sama jurusan sahaja kerana peluang anda untuk berkembang didalam kerjaya adalah lebih meluas lagi.

Saya adalah produk daripada sistem sosial yang saya sebutkan tadi dan saya bukan menyarankan agar pembaca tidak berkawan dengan sama jurusan tetapi hanya kembangkan sahaja supaya rangkaian anda lebih meluas kerana saya juga tidak akan menukarkan rakan-rakan sama jurusan saya dengan yang lain kerana tanpa mereka juga saya mungkin tidak akan menamatkan pelajaran tanpa bantuan mereka.

Perkara yang saya katakan ini adalah subjektif dan ada kebaikan dan keburukannya. Tetapi saya rasa ianya perlu diutarakan supaya anak-anak bangsa saya akan lebih maju dan berjaya. Fikir-fikirkanlah.

Wednesday, November 19, 2008

Angin Perubahan

Ianya telah 8 bulan berlalu selepas pilihanraya 2008 selesai. Saya masih ingat pada malam keputusan pilihanraya dan pada pagi selepas pemilihan yang mana ramai orang yang saya temui bersorak gembira di kampung Pulai Chondong menyatakan angin perubahan telah berlaku, tsunami politik yang hebat mengalahkan tsunami yang menenggelamkan Acheh.

Tetapi selepas pilihanraya 2008, angin perubahan yang dibawa tidak banyak bezanya sebelum pilihanraya 2008 malah isu politik masih lagi hangat diperkatakan sehingga sekarang. Ianya menarik bagaimana disebabkan oleh kerana seorang individu, sebuah parti politik yang memperjuangkan bangsa Melayu telah mengalami kekalahan yang teruk di lima negeri dan hanya berpegang kepada dahan yang rapuh untuk mentadbir negara.

Di Kelantan, saya berani mengatakan dan sila perbetulkan saya jika saya salah bahawa tiada angin perubahan yang berlaku di Kelantan melainkan mengekal status quo sahaja.

UMNO di Kelantan boleh saya katakan ramai lagi yang mengalami sindrom politik kuno dimana mengekalkan kuasa lebih penting daripada parti. Saya mempunyai seorang kawan yang giat membuat kerja untuk belia dan beliau telah disampaikan pesan oleh seorang ahli bahagian supaya kurangkan kegiatan beliau kerana telah dianggap cuba meraih populariti yang mungkin menggugat kuasa kelompok kuasa ahli bahagian tersebut dimasa akan datang.

inilah akibatnya apabila ramai ahli intelektual yang meninggalkan parti UMNO dan Ahli intelektual yang tinggal amat sedikit bersikap nationalis.

Jangan hairan jika saya katakan bahawa ada ketua Pemuda UMNO bahagian (saya tekankan bahagian dan bukan cawangan) di Kelantan yang baru dipilih hanya berkelulusan SPM dan ini menunjukkan ketandusan pemimpin muda didalam UMNO di Kelantan. Saya bukan ingin prejudis kepada Pemimpin Pemuda tersebut atau taraf pendidikan beliau. Cuma pada pandangan saya seorang pemimpin perlu mempunyai pengetahuan yang luas serta moral yang baik untuk membawa perubahan dan halatuju sebuah pertubuhan.

Anda mungkin tidak setuju dengan pendapat saya tetapi dalam pandangan saya, kita hanya membicarakan atau memberi halatuju kepada sesebuah masyarakat mengikut pengetahuan yang kita ada. Seorang ketua kampung yang tidak pernah keluar daripada kampung tidak dapat memberitahu jalan atau peluang yang ada di bandar sebab pengetahuan dia hanya tertakluk di kampung sahaja. Inilah pengetahuan yang saya maksudkan. Jika pemimpin berpengetahuan cetek maka ilmu dan halatuju yang beliau curahkan adalah cetek juga.

Mempunyai moral yang baik adalah antara lainnya apabila seseorang pemimpin meletakkan kepentingan bangsa dan rakyat mendahului kepentingan peribadi.

Golongan pengundi muda akan bertambah dari tahun ke setahun dan perlunya Pemimpin golongan muda yang berkaliber adalah perlu untuk mencari jalan dan rancangan yang jitu untuk menarik golongan muda tersebut. Dan tidak dapat tidak kelayakan atau intelektual pemimpin akan memainkan peranan untuk menarik golongan muda tersebut.

Saya berani mengatakan bahawa negara kini memerlukan Pemimpin yang hebat yang mana hendaklah setaraf Tun Mahathir untuk negara Malaysia menjadi lebih maju dan makmur. Selama 22 tahun Tun Mahathir mentadbir, Melayu khususnya dan Malaysia amnya telah maju dengan cepat sekali sehingga pernah digelar harimau asia tenggara. Seseorang itu perlu menolak sejarah sekiranya apa yang saya katakan adalah tidak benar.

Mungkin apa yang saya nyatakan adalah salah dan tidak benar sama sekali dan pengetahuan dan moral yang mulia di kalangan pemimpin adalah tidak penting kerana sekiranya ianya benar kenapakah pemimpin sedemikian telah di pilih. Anda putuskan.

Tuesday, November 4, 2008

Corat Coret

Berhati-hati di Jalanraya

Di Pulai Chondong, ada beberapa jalan yang perlu anda berhati-hati dan beringat apabila melaluinya. Saya sempat mengambil gambar jalan-jalan tersebut dan diharap pengguna jalanraya berhati-hati apabila melalui jalanraya tersebut.



Jalan simpang tiga ke Kemubu boleh dikatakan setiap tahun berlaku kemalangan dan yang terbaru adalah kemalangan maut pada bulan puasa 2008.


Ini pula jalan simpang empat ke kuari Bukit Buluh, kemalangan juga sering berlaku boleh dikatakan setiap tahun disimpang ini.

Satu lagi jalan yang perlu anda berhati-hati adalah sepanjang jalan Bukit Cina/ Kem Desa Kok Lanas yang mana walaupun mempunyai 4 laluan (4 lane) namun kemalangan sering juga berlaku. Agak pelik juga bahawa kemalangan sering berlaku dijalan-jalan tersebut yang boleh dikatakan bukannya selekohnya merbahaya tetapi saya tidak ingin mempercayai benda-benda khurafat cuma diharap sesiapa yang membaca blog ini berhati-hati membawa kereta/motor apabila melalui jalan-jalan ini.

Nyawa anda adalah berharga dan percaya atau tidak secara peribadi saya menghargai anda semua sebagai warga Malaysia dan sekiranya perlu berilah peringatan kepada kenalan-kenalan anda yang lain.

Wednesday, October 29, 2008

Politik Kampung

Didalam sejarah Islam, ayat pertama yang diturunkan kepada Rasullullah s.a.w adalah 'iqra' atau makna universalnya adalah 'bacalah'. Secara tersiratnya adalah menyeru manusia untuk berfikir mengikut pendapat beberapa ulama dimana terdapat banyak seruan Allah s.w.t didalam al-quran supaya manusia berfikir.

Namun sedihnya, perkara itulah yang jarang sekali dibuat oleh kita semua termasuk saya. Tulisan ini adalah untuk menasihati saya sendiri untuk berfikir dimana saya juga mengajak anda semua berfikir.

Apakah kaitan berfikir dengan politik kampung? banyak kaitannya...

Ada orang yang apabila ditanya tentang isu-isu sensitif dan melawan pegangan politik mereka maka kebanyakkannya menjawab bahawa beliau mengikut pemimpin dan tidak pernah mempersoalkan keputusan dan tidak membuat pengajian fakta atas apa-apa yang diputuskan. Kebanyakkannya menerima apa yang disuap secara bulat-bulat dan tanpa di usul periksa asalkan daripada pemimpin yang mereka sukai.

Ini adalah amat menyedihkan kerana undi anda dikira dan anda mengundi tanpa berfikir tetapi menerima apa-apa maklumat yang diberi secara bulat-bulat sehinggakan cakap yang tiada bukti sahih dijadikan sebagai sokongan.

Ianya bukan satu masalah sekiranya anda mengundi mana-mana pemimpin yang anda suka tetapi silalah berfikir sejenak tentang apa-apa maklumat yang diberi supaya undi anda ada nilainya. Satu undi anda menentukan samada kita masih lagi ada rumah dan negara untuk berteduh.

Lagi menyedihkan apabila undian dibuat atas dasar populariti sesuatu parti politik pada masa berkaitan seperti menyokong pasukan bola sepak. Pihak yang kalah akan di boo dan yang menang akan bersorak. Apabila ditanya kenapa sokong parti tersebut maka di jawab saja minat dan berkenan. Jika ditanya apakah kesan pegangan dan manifesto parti tersebut maka kebanyakkan menjawab tidak tahu dan ada juga menjawab mereka percaya pemimpin yang mereka pilih akan berbuat baik.

Tidak dapat dinafikan bahawa taat pada pemimpin adalah perlu tetapi bukanlah taat membuta tuli, apabila pemimpin berbuat silap hendaklah ditegur dan diselidiki.

Tidak rugi berfikir kerana budaya tersebut dapat mengukuhkan pendirian dan memajukan rakyat dan negeri kita. Pupuklah amalan membaca supaya kita mempunyai ilmu yang cukup untuk memenuhi keperluan fikiran kita.

Politik kampung adalah politik taqlid atau menurut tanpa menyelidiki sesuatu perkara tetapi berdasarkan apa yang orang cakap dan mana yang popular.

Pernahkah ditanya apakah pemimpin sedia ada dan lawan pemimpin tersebut apa yang telah dijanjikan dan apa yang telah dibuat untuk tempat kita? Pernahkan diperhatikan samada calon-calon tersebut telah berbuat baik kepada tempat dan penduduk kampung sebelum pilihanraya? Pernahkah kita menyelidiki implikasi manifesto atau pendirian calon-calon samada selari dengan apa yang diperjuangkan?

Cukuplah dengan politik takut (politic of fear) dan perpecahan sesama sendiri, saya percaya kita lebih daripada itu dan diharap mana-mana parti politik tidak menghina keintelektualan kita dimana ketakutan dan perpecahan dimainkan sebagai isu.

Ketakutan dimainkan apabila ada kampung yang masih lagi memilih untuk sembahyang dengan imam yang sama fahaman politik mereka. Ketakutan dimainkan apabila ada lagi mereka yang mengangkat nikah dua kali sekiranya imam yang pertama bukan sama fahaman politik mereka. Ketakutan dimainkan apabila kafir mengkafir dijadikan perkara biasa dan memaki hamun didalam masjid menjadi tiada kesalahan. Perpecahan dimainkan apabila politik wang menjadi normal dan nepotisme adalah menjadi kemestian dalam politik.

Mungkin apa yang saya katakan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan tidak berlaku. Alhamdulillah jika ianya tidak benar dan perpecahan senyap sesama kita tidak berlaku sama sekali. Semoga kita tidak menutup sebelah mata.

Ini hanyalah pendapat penulis semata-mata dan sekiranya anda mempunyai pendapat yang berbeza silalah berkongsi pendapat tersebut supaya penulis ini juga berfikir.

Kepimpinan

Umum diketahui bahawa pada setiap hari raya Aidilfitri maka jalanraya di Kelantan akan sesak dengan kenderaan warga Kelantan yang balik beraya menunjukkan ramai warga Kelantan yang bekerja di luar Kelantan.

Penyebab utama penduduk berhijrah ke luar Kelantan adalah kerana tiada pekerjaan yang mencukupi untuk menampung keperluan penduduk negeri Kelantan dan kebanyakkan yang berhijrah adalah golongan yang berpendidikan tinggi.

Implikasinya adalah kekurangan penduduk yang berkebolehan dan berpendidikan tinggi di Kelantan. Kita boleh berbangga bahawa ramai rakyat Kelantan yang menduduki jawatan tinggi di dalam Kerajaan, sektor awam dan sektor swasta tetapi malangnya mereka kebanyakkannya berada di luar Kelantan.

Implikasi yang paling besar adalah menyebabkan ketandusan pemimpin yang berwibawa di Kelantan dimana dengan ketandusan pemimpin berwibawa akan menyebabkan negeri itu sendiri mundur. Yang akan naik memimpin adalah golongan mereka yang kurang berwibawa dan berwawasan pendek.

Ianya telah menjadi kebiasaan bahawa pemimpin yang dipilih didalam parti politik masing-masing akan diangkat menjadi calon wakil rakyat seperti Ketua Bahagian bagi BN dan untuk parti PAS saya tidak pasti tetapi semestinya ahli parti tersebut.

Kebiasaannya ahli yang diangkat sebagai calon pemimpin adalah penduduk setempat yang tinggal di DUN berkaitan. Ironinya, sekiranya ahli yang intelektual dikalangan ahli parti tersebut kurang maka pilihan untuk menjadi pemimpin berwibawa adalah terhad menyebabkan pemimpin yang tidak sepatutnya dipilih menjadi ketua. Ini adalah satu situasi yang mungkin berlaku di Pulai Chondong dan Kelantan amnya.

Mungkin tidak semua pendapat saya ini dipersetujui oleh semua pihak tetapi kekurangan pelaburan serta peluang pekerjaan di Kelantan mungkin penyebab utama. Ini bukan masalah PR atau BN tetapi masalah rakyat Kelantan umumnya.

Kita perlu ramai rakyat Kelantan yang berpendidikan tinggi untuk kembali memajukan Kelantan dan menjadi pemimpin di kalangan rakyat Kelantan. Jangan salahkan rakyat yang berada di Kelantan jika pemimpin yang kurang berwibawa naik memimpin sekiranya anda sendiri yang berada diluar Kelantan enggan melakukan perubahan.

Saya seru kesemua rakyat Kelantan untuk berfikir, untuk memberi sumbangan agar negeri ini maju dan makmur. Tidak mustahil pada masa hadapan, negeri ini akan mundur kerana memerlukan pemimpin yang berupaya memberikan kemajuan kepada negeri ini.

Saya tidak tahu sekiranya dengan banyaknya hypermarket yang tumbuh bagai cendawan di Kelantan maka itu yang dikatakan kemajuan. Mungkin dengan adanya hypermarket tersebut maka ramai golongan intelektual yang akan kembali ke Kelantan. Anda menjadi hakimnya.

Sekiranya anda berpuas hati dengan kehilangan ramai warga Kelantan yang berhijrah ke luar Kelantan, bersetuju dengan keadaan ekonomi yang statik di Kelantan, bersetuju dengan kekurangan rakyat-rakyat yang intelektual dan pemimpin yang berwibawa, bersetuju dengan penghijrahan ramai kaum muda ke luar Kelantan maka jangan lakukan apa-apa dan nikmatilah apa-apa yang anda perolehi diluar Kelantan. Mungkin inilah masa depan yang anda semua impikan untuk negeri Kelantan.

Thursday, October 16, 2008

Corat Coret

Kuari Bukit Buloh

Antara penyumbang utama pekerjaan di Pulai Chondong adalah kuari di Bukit Buloh, Pulai Chondong. Ianya telah menjadi sinonim dengan Pulai Chondong dimana ramai warga Pulai Chondong dan di Kelantan amnya yang bekerja disana. Kawasan di bukit tersebut dibahagikan kepada beberapa syarikat yang mengendalikan kuari di bukit tersebut dimana dengan teknologi yang canggih membolehkan batu di bukit tersebut dikeluarkan dengan lebih banyak dan kawasan bukit di teroka dengan lebih cepat dan berkesan.

Malangnya sepertimana sumber-sumber asli yang lain, batu dan kawasan bukit tersebut akan habis. Anda dapat melihat sendiri apa yang telah terjadi kepada Bukit Buloh sekarang dan ianya tidak lama sebelum sumber asli tersebut kehabisan. Persoalannya adalah bila sumber tersebut akan habis dan apakah perancangan masa depan untuk mereka yang mencari rezeki di kuari tersebut.





Pada pandangan saya, yang memegang kuasa dan penasihatnya serta warga Pulai Chondong yang lain hendaklah bersatu memikirkan cara bagaimana untuk memajukan lagi Pulai Chondong dan menjenamakan semula halatuju Pulai Chondong. Hanya dengan cara itu, Pulai Chondong dapat berkembang semula dan insyaAllah lebih maju...


Pulai Chondong Night Life

Selepas blog ini diwar2kan dikalangan warga Pulai Chondong, banyak maklumbalas positif yang menggesa agar saya menyiarkan lagi tentang kehidupan dan cabaran di Pulai Chondong. Posting ini hanyalah memberi gambaran serta sebagai penghubung berita kepada warga Pulai Chondong yang berada diluar tentang malam di Pulai Chondong.

Tidak banyak yang dapat diperkatakan tentang suasana malam di Pulai Chondong sekarang melainkan tidaklah seceria suasana masa dahulu. Suasana kawasan kedai/pasar basah agak sunyi hanya bertemankan lampu jalan. Tidak banyak aktiviti yang berlaku pada suasana malam memandangkan hanya satu kedai runcit dikawasan tersebut yang dibuka sehingga pukul 10 malam.




(Waktu malam dan siang tidak jauh bezanya dimana jarang kenderaan yang lalu lalang di
jalan-jalan lama utama Pulai Chondong.
)

Oleh kerana agak janggal dan jarang dibuat orang untuk melepak dan berborak dengan kawan2 di tepi kedai runcit sambil minum air tin atau air kotak, maka restoran yang sebutkan pada posting yang lampau menjadi antara pilihan utama warga Pulai Chondong yang selama 10 tahun lebih telah setia mewarnai malam Pulai Chondong.


(Antara wajah remaja yang masih setia di Pulai Chondong)


(Karekter setia dan boleh dianggap telinga tahan panas yang datang menonton
perlawanan bolasepak di restoran ini.
)



(Anda tidak perlu menjadi genius untuk meneka pasukan pilihan pemuda ini)


(Peminat-peminat M.U yang mana boleh dibanggakan kerana mereka sentiasa bersatu
memanaskan telinga tuanpunya restoran dan telinga Pak Aji)


(Satu-satunya peminat arsenal di Pulai Chondong yang sentiasa panas telinganya)

Karekter-karekter dan suasana diatas adalah pengubat kesunyian malam Pulai Chondong. Kepada warga Pulai Chondong yang bekerja diluar negeri, suasana malam di Pulai Chondong tidaklah sebosan dan sesunyi yang disangkakan tetapi kepulangan anda akan memeriahkan lagi suasana di Pulai Chondong.

Tuesday, October 14, 2008

Corat Coret

Sudah beberapa hari saya tidak menulis didalam blog ini. Saya belum lagi mendapat masa yang sesuai untuk menulis posting yang saya fikirkan sesuai untuk blog ini. Mungkin kerana tiada idea atau terlebih idea. Terlebih idea menyebabkan kita tidak tahu idea yang mana hendak dimasukkan sebagai posting manakala tiada idea menyebabkan tiada idea!

Walaubagaimanapun saya berpendapat menulis tanpa membuat kajian dan carian fakta sebelum menulis mungkin tidak elok lagipun untuk mengelakkan daripada saya merapu kerana saya bertanggungjawab keatas apa yang saya tulis. Ingat ISA?!!

Mungkin cerita politik menjadi cerita hangat pada masa sekarang. Bagus juga tulis tentang politik tapi mungkin lain kali lagipun sudah banyak blog yang menulis tentang politik yang boleh mengenyangkan anda.

Sekarang tengah mengumpul bahan tentang masa depan Pulai Chondong dan pasukan bolasepak kampung Pulai Chondong zaman gemilang dan zaman ketandusan pemain sekarang. Kenal mana-mana Ronaldo atau Maradona pencen yang hendak masuk team Pulai Chondong?...

Saturday, October 11, 2008

Pulai Chondong Today

Pulai Chondong yang kita kenali tidak seperti dahulu. Sebelum jalanraya baru dibuka, Pulai Chondong memang menjadi tempat persinggahan orang luar Pulai Chondong untuk membeli belah dan pasar basah Pulai Chondong menjadi tumpuan. Orang sentiasa ramai dipasar sehingga lewat petang. Dulu terkenal dengan kedai rojak (razak dalam bahasa baku) dan kedai sebelah beliau. Petang2 akan ada tayangan gusti WWF (sekarang WWE) versi VCD dan orang tua akan ada bermain daun terup empat ratus (400) serta tidak pernah sunyi.

Walaubagaimanapun selepas pembukaan jalan baru di Pulai Chondong, Pekan Pulai Chondong boleh dikatakan Pekan 'Koboi' cuma tanpa kuda dan koboinya kerana orang luar jarang menggunakan jalan lama Pulai Chondong melainkan Teksi dan Bas serta Prebet sapu menyebabkan Pekan Pulai Chondong tidak sesibuk seperti dulu. Pengorbanan perlu dilakukan untuk mengelakkan kesesakan diAidilfitri menyebabkan jalanraya baru dibuka.




Beginilah jalan lama Pulai Chondong sekarang yang amat lengang sehinggakan budak2 boleh membuat wheelie dengan basikal diatas jalan tersebut sebab terlalu lengang dan jarang kereta lalu lintas.



Keadaan waktu tengahari di kampung Pulai Chondong begitu lengang dan kurang orang menyebabkan perniagaan tidak semeriah dahulu dan banyak kedai-kedai yang telah ditutup.


Dahulu ditapak ini terdapat pejabat penggawa dan balairaya disini. Selepas wakil rakyat parti PAS mengambil alih dun Pulai Chondong balai raya tersebut telah dirobohkan dan pejabat penggawa telah dipindahkan ke jalan baru. Ini sedikit sebanyak mengurangkan keinginan orang yang datang ke Pulai Chondong.

Untuk yang memegang kuasa, saya tidak tahu rasional yang digunakan atas keputusan memindahkan pejabat penggawa tersebut dan pada pendapat saya bila balairaya tersebut dirobohkan maka sepatutnya ada perancangan untuk menggantikan yang baru atau tapak tersebut digunakan untuk benda yang memanfaatkan kampung tetapi selepas 8 tahun lebih masih tiada tanda-tanda pembangunan dilaksanakan. Mungkin kompleks sukan atau tempat riadah kecil dapat dibangunkan untuk mengelakkan remaja Pulai Chondong melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.

Untuk parti yang tidak berkuasa di kampung ini, tiada tindakan proaktif untuk mengambil hati warga Pulai Chondong untuk membuat pembaharuan. Mungkin sebab takut jika buat pembaharuan dan tidak dicalonkan sebagai wakil rakyat maka hanya memperabiskan boreh (beras) sahaja. Warga Pulai Chondong amat menghargai apa yang anda buat (sekiranya ada) dan sokongan akan bertambah sekiranya kita membuat kebaikan...InsyaAllah

Saya menyeru kepada semua warga Pulai Chondong untuk melihat jauh melangkaui kuasa, pengaruh dan kepartian untuk memikirkan tentang kampung tempat tumpah darah kita ini untuk menjana pembaharuan.

Jika ada warga-warga Pulai Chondong yang mempunyai pangkat dan kuasa untuk membuat perubahan maka tolonglah kampung anda ini. Mungkin meminta sebuah bank didirikan atau meletakkan mesin autoteller dimana pelajar diasrama dapat datang mengambil duit mungkin dapat membantu. Ataupun membina sebuah kolej di Pulai Chondong pun elok juga dimana masih banyak tanah-tanah padi yang telah tidak diusahakan diambil sebagai tapak kolej.

Ini adalah satu-satunya kedai yang mempunyai ASTRO dimana saya dan kawan2 akan berkumpul pada malam sabtu untuk melihat siaran langsung bolasepak EPL. Jika remote astro anda dirumah dikontrol oleh isteri atau adik-beradik tengok drama TV3 dirumah maka silalah ke kedai ini untuk tengok bola, insyaAllah tidak kempunan malah boleh mengata (mengutuk) peminat pihak lawan tetapi sila pastikan telinga anda juga tahan panas. Kedai ini juga salah satu kedai yang menghilangkan sunyi malam di Pulai Chondong bersama pemiliknya pok cik him (gambar dibawah) yang juga peminat kelab Liverpool FC macam pak aji jugak.


Diatas adalah satu-satunya pejabat Peguam di Pulai Chondong. Benda yang didepan pejabat tersebut adalah fail-fail kontraktor yang katanya tumpang letak sebentar yang kemudiannya menjadi sampah. Dengarnya peguam pejabat tersebut telah membuat rayuan agar dokumen-dokumen tersebut dipindah tetapi pemilik dokumen masih lagi berdegil. Memandangkan pemilik dokumen tersebut mempunyai hubungan persaudaraan dengan peguam tersebut maka peguam tersebut dalam keadaan redha sahaja setakat ini walau memburukkan pemandangan.

Ditanya kenapa ribut tak ada banjir tak ada tapi buka pejabat peguam di kampung maka peguam tersebut hanya menyatakan 'saja jaga kampung' dan macam2 alasan lagilah. Walaupun apa jua alasan yang diberikan bagus juga ada sedikit perubahan di kampung kecil ini.

Pejabat peguam tersebut telah dibuka pada awal tahun 2007 oleh seorang warga Pulai Chondong juga dan masih lagi beroperasi sekarang. Diharap dapat memberi perkhidmatan yang cemerlang pada tahun-tahun yang mendatang dan para warga Pulai Chondong memberikan sokongan. Tentang perkhidmatan yang diberikan kena tanya pemilik pejabat tersebut dan jangan mengambil saranan blog ini secara membuta tuli.

Kepada pembaca posting ini, saya memohon dan menyeru sumbangan idea dan tindakan yang positif untuk memajukan kampung Pulai Chondong ini. Saya percaya ramai warga-warga Pulai Chondong yang mempunyai kuasa untuk membuat perubahan dan saya harap gunakanlah kuasa yang dianugerah tuhan tersebut untuk membuat perubahan.

Bagi saya sendiri, menulis disini adalah salah satu cara untuk mendapat perubahan dan kemajuan serta dilakukan diatas kemampuan saya. Saya harap anda juga berbuat demikian untuk membuat perubahan dan menyumbang sedikit masa anda untuk memikirkan kampung halaman anda ini juga...

Thursday, October 9, 2008

A NEW HOPE

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya,

blog ini dibangunkan bertujuan untuk menjadi penyambung berita (happening) atau pendapat dari warga kampung Pulai Chondong kepada seluruh warga Pulai Chondong dan kepada seluruh dunia amnya kepada sesiapa yang berminat. Posting yang dinyatakan didalam posting ini adalah atas kuasa dan buah fikiran pengendali blog semata-mata dan tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati.

Kepada pembaca (sekiranya ada) hendaklah mengconfirmkan sendiri apa-apa kebenaran atau fakta-fakta posting disini dan jangan ambil taqlid sahaja. Tuhan menyuruh kita berfikir, Tun Mahathir pernah menyeru supaya kita berfikir dan Nabil cakap lu fikirlah sendiri!

Blog ini tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik.

Diharap blog ini dapat membawa kebaikan dan menjauhkan keburukan. Apa-apa cadangan dan pendapat amat di alu-alukan dan diharap para pembaca (sekiranya ada) memberikan sesuatu yang membina. Apa-apa komen atau perkataan yang menjolok mata dan kesat serta tidak membina tidak akan disiarkan waimma dilayan...

sebarang kesilapan fakta atau penyataan atau perkataan amat dikesali dan didahului dengan ucapan maaf.

terima kasih dan selamat berhari raya

Dari Pakatan Harapan ke Keluarga Malaysia

Prologue Sudah lebih 11 tahun blog ni terbiar dan ianya telah melalui 2 Pilihanraya Umum dari zaman DS Najib pada 2013 dan pada 2018 Kerajaa...