Tuesday, October 11, 2022

Dari Pakatan Harapan ke Keluarga Malaysia

Prologue

Sudah lebih 11 tahun blog ni terbiar dan ianya telah melalui 2 Pilihanraya Umum dari zaman DS Najib pada 2013 dan pada 2018 Kerajaan kembali diterajui oleh Tun M tetapi keajaiban berlaku apabila kerajaan BN tumbang  buat pertama kali dalam sejarah panjang Malaysia.  

Malaysia akan menghadapi Pilihanraya semula pada PRU 15 apabila PM DS Ismail Sabri umum pembubaran pada 10/10/2022. Rakyat akan mengundi semula. 

Apa yang menyebabkan saya menulis semula selepas 11 tahun mungkin kerana apa yang berlaku sekarang selepas pilihanraya 2018 adalah terlalu unik, ajaib, memeningkan kepala untuk difikirkan dan saya cuba menulis satu cebisan sejarah melalui kacamata saya sebagai ingatan dan harap menjadi tatapan pengajaran anak cucu kelak betapa unik, menarik dan mendebarnya politik Malaysia di suatu masa.

Pasca 2018 menyaksikan 2 perkara besar berlaku di Malaysia dan umumnya di dunia iaitu Kerajaan Barisan Nasional (BN) dibawah pimpinan DS Najib tumbang dan digantikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibawah pimpinan Tun Mahathir kemudian dunia termasuk Malaysia dilanda wabak pandemik virus Covid-19 pada awal tahun 2020.

Entah samada ianya satu keuntungan atau tidak tetapi dari tahun 2018, rakyat Malaysia telah mendapat tiga Perdana Menteri dengan sekali mengundi sahaja. Selepas PH dibawah pimpinan Tun Mahathir mengalahkan gergasi Barisan Nasional pada 2018, tiba-tiba negara gempar apabila pada tahun 2020 kerajaan PH tumbang apabila Tun Mahathir terpaksa meletak jawatan dengan parti Bersatu dibawah presiden TS Muhyiddin (Mahiaddin?) Yassin bersama Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat DS Azmin Ali (orang kuat DS Anuar Ibrahim) telah keluar dari Kerajaan PH dan menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional bersama BN dan PAS. Apa yang mengejutkan selepas pertukaran kerajaan tersebut adalah apabila Tun Mahathir dan beberapa pimpinan parti Bersatu juga telah dipecat daripada parti Bersatu.

Semasa tulisan ini dipost, Perdana Menteri sekarang adalah DS Ismail Sabri. TS Muhyiddin Yassin juga telah di tarik turun oleh UMNO selepas tidak sampai 12 bulan sebagai Perdana Menteri. kluster Mahkamah tidak bersetuju untuk TS Muhyiddin Yassin sebagai PM dan pihak PH tidak lupa pengkhianatan kumpulan langkah Sheraton dan hanya bersetuju M.O.U dengan DS Ismail Sabri sebagai PM.

Bermula dari kejatuhan kerajaan PH Tun Mahathir rakyat bingung dan tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya kerana peralihan kuasa tersebut berlaku semasa Malaysia sedang menghadapi situasi wabak Covid-19 dan PH baru mentadbir Malaysia selama 21 bulan (lebih kurang). Ini kerja tidak masuk akal! mesti ada satu penjelasan keatas apa berlaku? semua tahu yang TS Muhyiddin dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden oleh UMNO/BN bersama DS Mukhriz. Tun Mahathir telah meninggalkan UMNO pada 2016 kerana tidak bersetuju dengan DS Najib diatas isu kleptokrasi dan scandal 1MDB.  Kenapa TS Muhyiddin boleh berpakat semula dengan UMNO/BN?

Politik kadang-kadang cakap tidak serupa bikin. Apa yang yang dibuat tidak semesti apa yang dikata. Dalam satu masa kita juga perlu melihat tindakan dan kelakuan seseorang untuk mengetahui apa niat yang sebenar dengan harapan kita memahami apa yang berlaku disekeliling kita.  Tulisan ini adalah hasil pandangan dan pengamatan semata dan tidaklah ianya menjadi satu fakta yang bebas dari kesalahan tetapi kadang-kadang bagus juga untuk mempunyai pandangan yang berbeza. 

dan kita ke bab yang Pertama...


Sunday, September 19, 2010

1Malaysia

1. Saya telah ditelefon oleh nombor yang tidak saya kenali baru-baru ini dan apabila saya angkat telefon saya, beliau telah memperkenalkan diri sebagai kakitangan daripada Kementerian Penerangan Malaysia yang ingin menanyakan tentang pemahaman saya tentang konsep 1Malaysia samaada kempen dari Kementerian Penerangan Malaysia berjaya mempromosikan konsep 1Malaysia.

2. Response saya adalah promosi tersebut adalah teramat kurang keberkesanannya dan rata-rata rakyat saya percaya masih lagi keliru tentang apa yang ingin disampaikan oleh DS Najib. Adakah ianya sebagai satu tindakbalas kepada 'Malaysian Malaysia' yang digunakan oleh DAP dimana konsep samarata diutamakan atau ianya adalah berdasarkan konsep perpaduan?

3. DS Najib juga tidak menyatakan secara khusus tentang apa itu konsep 1Malaysia melainkan seolah-olah menyuruh rakyat membuat interpretasi mereka sendiri. Ianya lain dari wawasan 2020 dokongan Tun Mahathir dimana Tun telah menyatakan halatuju konsep tersebut dan semua rakyat mempunyai pemahaman yang jelas mengenai wawasan 2020.

4. Jika kerajaan serius mempromosikan konsep/idea 1Malaysia maka DS Najib sendiri sepatutnya menerangkan niat dan tujuan 1Malaysia supaya rakyat jelas tentang maksud 1Malaysia dan bukannya masing-masing membuat interpretasi sendiri.




- Posted using BlogPress from my iPad

Saturday, July 17, 2010

Corat Coret

Ingatan Sebelum Lupa

1. "Dalam pada itu niscaya bahasa Arab harus diketahui, walaupun sekadar guna membaca buku-buku Arab sebagai ilmu Agama Islam. Dan alangkah baiknya pula jika si pemberi dakwah mengerti pula bahasa asing yang kerapkali menjadi bahasa kesarjanaan pada zaman moden, misalnya bahasa Inggeris. Supaya dia tidak canggung dan tidak rendah gengsi jika berhadapan dengan bangsa lain atau bangsanya sendiri yang merasa bangga dalam pengetahuannya dalam bahasa asing itu. Orang Arab mempunyai pepatah:" Barangsiapa yang mengetahui bahasa satu kaum, niscaya terlepaslah dia dari tipudaya kaum itu".

2. PPSMI adalah contoh terbaik sekiranya saranan diatas diambil menjadi teladan.

3. "Dinegeri kita Indonesia inipun kerapkali kejadian, ada pecah-belah dan perselisihan kerana masalah furu', masalah khilafiyah, sehingga menimbulkan permusuhan yang mendalam sekali. Sehingga satu waktu ada dari golongan Islam yang mau bekerjasama dengan golongan komunis, kerana sangat bencinya kepada golongan sesama agamanya. Dia sangat benci kepada golongan seagamanya itu dan komunispun benci pula kepada golongan yang dibencinya itu. Maka puaslah hatinya bertemu dengan golongan komunis itu, sebab mereka dua dikumpulkan oleh persamaan perasaan iaitu kebencian. Maka adalah seorang yang terhitung ulama, merasa puas hati berangkul-rangkulan dengan komunis, sehingga anak kandungnya sendiripun mendekam dalam penjara seketika gagal maksud komunis mengadakan perebutan kekuasaan, karena anak itu telah menjadi alat dan kaki-tangan komunis. Inilah siksaan perpecahan."

4. Fikir-fikirkanlah....


- Posted using BlogPress from my iPad

Harga Barang Naik Atau Subsidi Turun

1. Kerajaan pimpinan DS Najib telah mengumumkan keputusan yang tidak popular dengan menaikkan beberapa harga barang-barang keperluan dan minyak.

2. Bagi saya yang duduk dikampung dan bercampur gaul dengan masyarakat kampung hanya boleh mendengar keluhan rakyat di akar umbi mengeluh tentang kenaikan harga barang.

3. Lebih-lebih lagi, para petani agak terdesak apabila tanaman padi tidak menjadi pada awal tahun ini disebabkan kemarau yang panjang. Sumber pencarian sudah mengecil sedangkan keperluan dan harga barang semakin membesar.

4. Saya secara emosinya tidak bersetuju dengan kenaikan harga barang tersebut tetapi secara rasionalnya mungkin PM telah berfikir masak-masak sebelum kenaikan harga barang diumumkan kerana ini adalah keputusan yang paling tidak popular boleh dibuat oleh PM sedang UMNO/BN dibelenggu kemelut ditolak rakyat.

5. Walaubagaimanapun kita perlu akur bahawa harga barang akan tetap naik dan para peniaga sendiri tidak boleh menjamin yang harga barang mereka akan kekal seperti sediakala untuk 100 tahun lagi bila ekonomi dunia semakin tenat dan harga barang mentah juga naik.

6. Masalah yang dihadapi DS Najib adalah dia mewarisi kerajaan yang lemah dan kewangan serta ekonomi yang tenat daripada Pak Lah. Untuk mengekalkan subsidi kepada rakyat, ekonomi serta kewangan Malaysia hendaklah kukuh. Kita hendaklah mempunyai wang yang lebih untuk dibelanjakan kerana subsidi tidak akan memberi pulangan balik kepada kerajaan melainkan 'menyedekah' wang kepada rakyat.

7. Zaman pemerintahan Pak Lah dipenuhi dengan gantirugi dan 'side deal' yang mementingkan kroni. Berapa ratus juta telah di belanjakan untuk membayar gantirugi 'scenic bridge' selain membatalkan kebanyakkan projek yang dimulakan di zaman Tun M dan gantirugi lain tanpa alasan munasabah.

8. Semuanya adalah pembaziran yang tidak sepatutnya terjadi dan akibatnya rakyat terpaksa mengikat perut menggalas kesalahan kerajaan terdahulu sedangkan elaun menteri tidak pernah berkurangan. Inilah antara sebab kehilangan wang yang sepatutnya menjadi subsidi kepada rakyat.

9. Pengurangan subsidi ini boleh ditangani dengan bijak sekiranya Kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat dimana pemimpin-pemimpin akar umbi berjalan bertemu dengan rakyat dan bertanya khabar akan kehidupan mereka terutama petani-petani. Disitu langkah boleh diambil oleh pemimpin dengan bantuan kewangan sekiranya tanaman petani-petani tidak menjadi dengan ini beban kenaikan harga barang akan dapat dikurangkan.

10. Saya juga diberitahu bahawa ramai kontraktor bumiputra yang tenat sekarang ini dimana sehingga pertengahan tahun ini, projek-projek kerajaan tidak banyak yang dikeluarkan. Penjimatan yang terpaksa dibuat bagi menghadapi pilihanraya. Tetapi sekiranya pembaziran tidak berlaku maka masih banyak projek dapat diperturunkan kepada kontraktor untuk sepanjang tahun ini.

11. Saya masih lagi ragu-ragu sekiranya pembangkang juga mempunyai formula yang ajaib untuk menurunkan atau mengekalkan harga barang melainkan dengan menjejaskan lagi kewangan negara untuk memberi subsidi kepada rakyat.

12. Dijangkakan akan ada lagi keputusan kerajaan yang tidak popular pada masa terdekat ini dalam usaha DS Najib mengimbangi kehendak rakyat dan survival negara dengan apa yang dia perolehi daripada pemimpin terdahulu.

Wassalam.


- Posted using BlogPress from my iPad

Friday, May 28, 2010

Perkasa

1. Saya berkesempatan untuk pergi mendengar ceramah PERKASA yang diadakan pada 22.05.2010 di Machang sempena majlis perasmian PERKASA cawangan Machang, Kelantan.

2. Dah banyak kali saya menyimpan hasrat untuk pergi mendengar apa yang hendak diperkatakan dan apakah halatuju PERKASA yang didokong oleh Dato' Ibrahim Ali tetapi banyak kali gagal dan hanya mendengar cakap mulut orang saja tentang apa yang dikatakan.

3. Kedatangan saya pada majlis PERKASA tersebut tidak lain hanya hendak mendengar Dato' Ibrahim memberi ceramah tentang PERKASA serta tentang isu-isu semasa dan Dato' Ibrahim memang tidak mengecewakan.

4. Antara isu yang di kupas ialah tentang lemahnya perpaduan Melayu dimana kini telah terdapat extremis kaum bukan Melayu yang cuba menyangkal atau mempersoalkan kedudukan Melayu didalam perlembagaan Malaysia akibat kelemahan Melayu.

5. Dato' Ibrahim telah mengibaratkan UMNO sebagai pesakit tenat yang cuba dirawat oleh DS Najib tetapi pesakit pula tidak mahu makan ubat. UMNO perlu kembali kepada perjuangan asal sekiranya ianya ingin dianggap masih lagi relevan. Perjuangan menjaga bangsa Melayu hendaklah menjadi agenda yang bukan sekadar retorik untuk menarik undi tetapi perlu dibuat dan diutamakan.

6. PAS pula telah diibaratkan oleh Dato' Ibrahim sebagai pesakit di wad psikiatrist yang sudah mabuk kuasa dan perjuangan lama parti tersebut telah ditinggalkan dimana segala perjuangan telah dijual untuk memuaskan hati rakan pakatan didalam mengejar kuasa.

7. Mungkin apa yang diperkatakan oleh Dato' Ibrahim pedas bagi yang mendengarnya tetapi sekiranya Melayu tidak mahu di perkotak katikkan haknya maka teguran dan pandangan kesemua pihak harus di dengar dan diteliti apakah ada betulnya apa yang dikatakan.

8. Banyak pihak yang mengatakan bahawa PERKASA ini perkauman tetapi hakikatnya penubuhan PERKASA ini adalah sebagai tindakbalas kepada kemunculan HINDRAF dan beberapa kumpulan NGO seperti Ziong Dong dll.

9. Ianya amat pelik apabila satu pihak yang mempunyai kumpulan pejuang kaum mereka tetapi memarahi satu kaum yang lain yang cuba atau telah untuk membuat perkara yang sama dengan bermacam-macam label dilontarkan.

10. Apa yang dapat saya rumuskan pada ceramah hari itu ialah kekuasaan politik Melayu telah goyah dan menunggu tumbang sahaja akibat perpecahan dan sikap orang Melayu Islam yang sekarang telah lupa dan terlalu hidup selesa.

11. Hidup selesa kerana apabila sudah dapat yang dihajatkan maka perjuangan politik ditinggalkan. Sudah berapa banyak kali kita dengar ayat 'saya tak main politik, bagi kat diorang jelah. saya dah cukup'.

12. Sikap itulah yang menyebabkan orang-orang yang tidak sepatutnya memegang pucuk pimpinan apabila sikap lepas tangan orang Melayu yang telah hidup selesa meminggirkan politik dimana orang yang mencari peluang akan menggunakan sikap lepas tangan tersebut untuk naik ke puncak kuasa.

13. Dato' Ibrahim juga mengatakan bahawa Melayu sekarang hidup selesa kerana perjuangan pemimpin dahulu yang menitik darah mempertahankan hak Melayu dibumi yang dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu.

14. Melayu di Kelantan selesa kerana walau menang kalah di negeri tetapi pucuk pimpinan masih lagi Melayu tetapi mentaliti itu hendaklah dibuang ketepi dengan situasi yang gawat pada masa hari ini.

15. Apa yang dirunsingkan bukanlah kepada kaum bukan melayu tetapi kepada chauvinist dan ekstremis kaum bukan Melayu yang cuba melaga-lagakan antara kaum dengan berpura-pura memperjuangkan hak samarata dan mengatakan politik kaum sudah tidak relevan di Malaysia.

16. Sekiranya politik berdasarkan kaum sudah tidak relevan lagi tetapi kenapa apabila pilihanraya kecil diadakan maka calon yang diletakkan masih lagi berdasarkan kaum majoriti ditempat pilihanraya dibuat.

17. Perjuangan dan cabaran baru telah bermula bagi Malaysia.....

Monday, May 17, 2010

Tidak Sempat

1. Ianya cukup lima bulan sejak kali terakhir posting dibuat. Masa yang membuatkan penulis tidak sempat untuk menulis.

2. Pada 21.05.2010, pertubuhan PERKASA akan membuat satu ceramah di Machang. Penulis berhajat pergi mendengar apa yang ingin disampaikan oleh Dato' Ibrahim Ali dan apakah halatuju PERKASA sebenarnya.

3. Mungkin dengan menghadiri majlis tersebut akan memberi banyak idea untuk kembali aktif menulis.

4. Penulis juga bercadang untuk menganjurkan liga 11 sebelah dun Pulai Chondong.

5. Harapnya posting akan datang bukannya selepas 5 bulan posting ini dibuat pula. Banyak yang ingin dikatakan tetapi sedikit masa.


Thursday, December 24, 2009

Keputusan Liga Terpilih 8 Sebelah Pulai Chondong

1. Liga 8 sebelah Pulai Chondong telah berjaya dianjurkan dengan penuh meriah walaupun diadakan dalam suasana hujan.

2. Perlawanan hanya bermula pada pukul 9 pagi terlewat satu jam disebabkan hujan tetapi pada keseluruhannya liga dapat dilaksanakan dalam waktu yang ditetapkan.

3. Pihak penganjur iaitu supermokh didalam memastikan liga berjalan dengan sempurna patut dipuji akan komitmen dan kesungguhan beliau didalam menjayakan liga ini.

4. Terdapat juga insiden-insiden yang tidak diingini dimana pertengkaran mulut dengan pengadil dan diantara pemain menunjukkan kesungguhan dan semangat para pemain.

5. Pada peringkat kumpulan, pasukan pilihan iaitu pasukan maradoha, ali karimi dan supermokh layak sebagai kelompok empat teratas dengan maradoha mengungguli peringkat kumpulan.

6. Pasukan supermokh nyaris tidak layak ke peringkat separuh akhir apabila pasukan yang dipimpin antonik valencia memerlukan satu kemenangan untuk menyingkir supermokh dari kelompok empat teratas.

7. Pada perlawanan penentuan empat teratas antara antonik dan maradoha, supermokh telah memilih untuk menjadi pengadil perlawanan dan terdapat gol kontroversi dimana penjaga gol antonik telah nampak dikasari tetapi supermokh meneruskan perlawanan menyebabkan pemain maradoha berjaya menjaringkan gol.

8. Tindakan Supermokh membenarkan gol kontroversi tersebut telah timbul spekulasi supermokh cuba menyingkirkan pasukan antonik bagi melayakkan pasukan supermokh. Lebih-lebih lagi tindakan supermokh yang hanya melihat jam ditangan tanpa menghiraukan permainan dimana tiada masa kecederaan diberikan menguatkan spekulasi tersebut.

9. Pasukan antonik cuba memprotes tetapi memandangkan supermokh adalah pengadil merangkap penganjur maka protes antonik tidak dilayan dan dibuat tidak tahu.

10. Terdapat juga kontroversi dimana samada gol telah dijaringkan atau tidak memandangkan jaring gol tidak ada semasa perlawanan antara ali karimi dan maradoha. Ini menguatkan lagi permintaan agar rakaman video digunakan bagi perlawanan bolasepak tetapi disebabkan ini adalah liga kampung dan hanya berbekalkan camera handset yang tidak digunakan kerana bateri tidak ada maka permintaan tersebut juga tidak dilayan.

11. Semasa perlawanan separuh akhir diantara pasukan ali karimi dan maradoha, telah berlaku pertengkaran diantara penjaga gol ali karimi dan penyerang tidak berbahaya maradoha. Pihak penganjur telah menunjukkan hadiah hamper tersebut kepada pemain yang bertengkar dan pertengkaran tersebut reda.

12. Ada juga waktu Supermokh selaku pengadil juga dinampak berat sebelah kepada ali karimi apabila ali karimi mengugut tidak membayar hutang kepada supermokh sekiranya dibuang padang.

13. Selain daripada insiden-insiden yang tidak diingini tersebut, liga ini dilangsungkan dengan penuh meriah dalam hujan dengan keriangan hilai tawa. Mungkin kerana peluang untuk bermain hujan memeriahkan suasana tersebut diselangi aksi pemain yang jatuh menggelongsor diatas pasir kerana licin terutama bos yidin yang berat melebihi 90kg menggelongsor perut atas tanah tanpa rumput apabila di cas keting oleh jaki tok bok.

13. Liga tersebut telah dimenangi oleh pasukan supermokh dengan sepakan penalti dengan pasukan maradoha.

14. Diharap liga ini akan kerap dianjurkan untuk semangat kesukanan dan memupuk hubungan yang lebih akrab antara pemain selain menghidupkan lagi suasana di Pulai Chondong.

15. Syabas kepada semua yang menjayakan.

Dari Pakatan Harapan ke Keluarga Malaysia

Prologue Sudah lebih 11 tahun blog ni terbiar dan ianya telah melalui 2 Pilihanraya Umum dari zaman DS Najib pada 2013 dan pada 2018 Kerajaa...