Wednesday, October 29, 2008

Politik Kampung

Didalam sejarah Islam, ayat pertama yang diturunkan kepada Rasullullah s.a.w adalah 'iqra' atau makna universalnya adalah 'bacalah'. Secara tersiratnya adalah menyeru manusia untuk berfikir mengikut pendapat beberapa ulama dimana terdapat banyak seruan Allah s.w.t didalam al-quran supaya manusia berfikir.

Namun sedihnya, perkara itulah yang jarang sekali dibuat oleh kita semua termasuk saya. Tulisan ini adalah untuk menasihati saya sendiri untuk berfikir dimana saya juga mengajak anda semua berfikir.

Apakah kaitan berfikir dengan politik kampung? banyak kaitannya...

Ada orang yang apabila ditanya tentang isu-isu sensitif dan melawan pegangan politik mereka maka kebanyakkannya menjawab bahawa beliau mengikut pemimpin dan tidak pernah mempersoalkan keputusan dan tidak membuat pengajian fakta atas apa-apa yang diputuskan. Kebanyakkannya menerima apa yang disuap secara bulat-bulat dan tanpa di usul periksa asalkan daripada pemimpin yang mereka sukai.

Ini adalah amat menyedihkan kerana undi anda dikira dan anda mengundi tanpa berfikir tetapi menerima apa-apa maklumat yang diberi secara bulat-bulat sehinggakan cakap yang tiada bukti sahih dijadikan sebagai sokongan.

Ianya bukan satu masalah sekiranya anda mengundi mana-mana pemimpin yang anda suka tetapi silalah berfikir sejenak tentang apa-apa maklumat yang diberi supaya undi anda ada nilainya. Satu undi anda menentukan samada kita masih lagi ada rumah dan negara untuk berteduh.

Lagi menyedihkan apabila undian dibuat atas dasar populariti sesuatu parti politik pada masa berkaitan seperti menyokong pasukan bola sepak. Pihak yang kalah akan di boo dan yang menang akan bersorak. Apabila ditanya kenapa sokong parti tersebut maka di jawab saja minat dan berkenan. Jika ditanya apakah kesan pegangan dan manifesto parti tersebut maka kebanyakkan menjawab tidak tahu dan ada juga menjawab mereka percaya pemimpin yang mereka pilih akan berbuat baik.

Tidak dapat dinafikan bahawa taat pada pemimpin adalah perlu tetapi bukanlah taat membuta tuli, apabila pemimpin berbuat silap hendaklah ditegur dan diselidiki.

Tidak rugi berfikir kerana budaya tersebut dapat mengukuhkan pendirian dan memajukan rakyat dan negeri kita. Pupuklah amalan membaca supaya kita mempunyai ilmu yang cukup untuk memenuhi keperluan fikiran kita.

Politik kampung adalah politik taqlid atau menurut tanpa menyelidiki sesuatu perkara tetapi berdasarkan apa yang orang cakap dan mana yang popular.

Pernahkah ditanya apakah pemimpin sedia ada dan lawan pemimpin tersebut apa yang telah dijanjikan dan apa yang telah dibuat untuk tempat kita? Pernahkan diperhatikan samada calon-calon tersebut telah berbuat baik kepada tempat dan penduduk kampung sebelum pilihanraya? Pernahkah kita menyelidiki implikasi manifesto atau pendirian calon-calon samada selari dengan apa yang diperjuangkan?

Cukuplah dengan politik takut (politic of fear) dan perpecahan sesama sendiri, saya percaya kita lebih daripada itu dan diharap mana-mana parti politik tidak menghina keintelektualan kita dimana ketakutan dan perpecahan dimainkan sebagai isu.

Ketakutan dimainkan apabila ada kampung yang masih lagi memilih untuk sembahyang dengan imam yang sama fahaman politik mereka. Ketakutan dimainkan apabila ada lagi mereka yang mengangkat nikah dua kali sekiranya imam yang pertama bukan sama fahaman politik mereka. Ketakutan dimainkan apabila kafir mengkafir dijadikan perkara biasa dan memaki hamun didalam masjid menjadi tiada kesalahan. Perpecahan dimainkan apabila politik wang menjadi normal dan nepotisme adalah menjadi kemestian dalam politik.

Mungkin apa yang saya katakan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan tidak berlaku. Alhamdulillah jika ianya tidak benar dan perpecahan senyap sesama kita tidak berlaku sama sekali. Semoga kita tidak menutup sebelah mata.

Ini hanyalah pendapat penulis semata-mata dan sekiranya anda mempunyai pendapat yang berbeza silalah berkongsi pendapat tersebut supaya penulis ini juga berfikir.

Kepimpinan

Umum diketahui bahawa pada setiap hari raya Aidilfitri maka jalanraya di Kelantan akan sesak dengan kenderaan warga Kelantan yang balik beraya menunjukkan ramai warga Kelantan yang bekerja di luar Kelantan.

Penyebab utama penduduk berhijrah ke luar Kelantan adalah kerana tiada pekerjaan yang mencukupi untuk menampung keperluan penduduk negeri Kelantan dan kebanyakkan yang berhijrah adalah golongan yang berpendidikan tinggi.

Implikasinya adalah kekurangan penduduk yang berkebolehan dan berpendidikan tinggi di Kelantan. Kita boleh berbangga bahawa ramai rakyat Kelantan yang menduduki jawatan tinggi di dalam Kerajaan, sektor awam dan sektor swasta tetapi malangnya mereka kebanyakkannya berada di luar Kelantan.

Implikasi yang paling besar adalah menyebabkan ketandusan pemimpin yang berwibawa di Kelantan dimana dengan ketandusan pemimpin berwibawa akan menyebabkan negeri itu sendiri mundur. Yang akan naik memimpin adalah golongan mereka yang kurang berwibawa dan berwawasan pendek.

Ianya telah menjadi kebiasaan bahawa pemimpin yang dipilih didalam parti politik masing-masing akan diangkat menjadi calon wakil rakyat seperti Ketua Bahagian bagi BN dan untuk parti PAS saya tidak pasti tetapi semestinya ahli parti tersebut.

Kebiasaannya ahli yang diangkat sebagai calon pemimpin adalah penduduk setempat yang tinggal di DUN berkaitan. Ironinya, sekiranya ahli yang intelektual dikalangan ahli parti tersebut kurang maka pilihan untuk menjadi pemimpin berwibawa adalah terhad menyebabkan pemimpin yang tidak sepatutnya dipilih menjadi ketua. Ini adalah satu situasi yang mungkin berlaku di Pulai Chondong dan Kelantan amnya.

Mungkin tidak semua pendapat saya ini dipersetujui oleh semua pihak tetapi kekurangan pelaburan serta peluang pekerjaan di Kelantan mungkin penyebab utama. Ini bukan masalah PR atau BN tetapi masalah rakyat Kelantan umumnya.

Kita perlu ramai rakyat Kelantan yang berpendidikan tinggi untuk kembali memajukan Kelantan dan menjadi pemimpin di kalangan rakyat Kelantan. Jangan salahkan rakyat yang berada di Kelantan jika pemimpin yang kurang berwibawa naik memimpin sekiranya anda sendiri yang berada diluar Kelantan enggan melakukan perubahan.

Saya seru kesemua rakyat Kelantan untuk berfikir, untuk memberi sumbangan agar negeri ini maju dan makmur. Tidak mustahil pada masa hadapan, negeri ini akan mundur kerana memerlukan pemimpin yang berupaya memberikan kemajuan kepada negeri ini.

Saya tidak tahu sekiranya dengan banyaknya hypermarket yang tumbuh bagai cendawan di Kelantan maka itu yang dikatakan kemajuan. Mungkin dengan adanya hypermarket tersebut maka ramai golongan intelektual yang akan kembali ke Kelantan. Anda menjadi hakimnya.

Sekiranya anda berpuas hati dengan kehilangan ramai warga Kelantan yang berhijrah ke luar Kelantan, bersetuju dengan keadaan ekonomi yang statik di Kelantan, bersetuju dengan kekurangan rakyat-rakyat yang intelektual dan pemimpin yang berwibawa, bersetuju dengan penghijrahan ramai kaum muda ke luar Kelantan maka jangan lakukan apa-apa dan nikmatilah apa-apa yang anda perolehi diluar Kelantan. Mungkin inilah masa depan yang anda semua impikan untuk negeri Kelantan.

Thursday, October 16, 2008

Corat Coret

Kuari Bukit Buloh

Antara penyumbang utama pekerjaan di Pulai Chondong adalah kuari di Bukit Buloh, Pulai Chondong. Ianya telah menjadi sinonim dengan Pulai Chondong dimana ramai warga Pulai Chondong dan di Kelantan amnya yang bekerja disana. Kawasan di bukit tersebut dibahagikan kepada beberapa syarikat yang mengendalikan kuari di bukit tersebut dimana dengan teknologi yang canggih membolehkan batu di bukit tersebut dikeluarkan dengan lebih banyak dan kawasan bukit di teroka dengan lebih cepat dan berkesan.

Malangnya sepertimana sumber-sumber asli yang lain, batu dan kawasan bukit tersebut akan habis. Anda dapat melihat sendiri apa yang telah terjadi kepada Bukit Buloh sekarang dan ianya tidak lama sebelum sumber asli tersebut kehabisan. Persoalannya adalah bila sumber tersebut akan habis dan apakah perancangan masa depan untuk mereka yang mencari rezeki di kuari tersebut.





Pada pandangan saya, yang memegang kuasa dan penasihatnya serta warga Pulai Chondong yang lain hendaklah bersatu memikirkan cara bagaimana untuk memajukan lagi Pulai Chondong dan menjenamakan semula halatuju Pulai Chondong. Hanya dengan cara itu, Pulai Chondong dapat berkembang semula dan insyaAllah lebih maju...


Pulai Chondong Night Life

Selepas blog ini diwar2kan dikalangan warga Pulai Chondong, banyak maklumbalas positif yang menggesa agar saya menyiarkan lagi tentang kehidupan dan cabaran di Pulai Chondong. Posting ini hanyalah memberi gambaran serta sebagai penghubung berita kepada warga Pulai Chondong yang berada diluar tentang malam di Pulai Chondong.

Tidak banyak yang dapat diperkatakan tentang suasana malam di Pulai Chondong sekarang melainkan tidaklah seceria suasana masa dahulu. Suasana kawasan kedai/pasar basah agak sunyi hanya bertemankan lampu jalan. Tidak banyak aktiviti yang berlaku pada suasana malam memandangkan hanya satu kedai runcit dikawasan tersebut yang dibuka sehingga pukul 10 malam.




(Waktu malam dan siang tidak jauh bezanya dimana jarang kenderaan yang lalu lalang di
jalan-jalan lama utama Pulai Chondong.
)

Oleh kerana agak janggal dan jarang dibuat orang untuk melepak dan berborak dengan kawan2 di tepi kedai runcit sambil minum air tin atau air kotak, maka restoran yang sebutkan pada posting yang lampau menjadi antara pilihan utama warga Pulai Chondong yang selama 10 tahun lebih telah setia mewarnai malam Pulai Chondong.


(Antara wajah remaja yang masih setia di Pulai Chondong)


(Karekter setia dan boleh dianggap telinga tahan panas yang datang menonton
perlawanan bolasepak di restoran ini.
)



(Anda tidak perlu menjadi genius untuk meneka pasukan pilihan pemuda ini)


(Peminat-peminat M.U yang mana boleh dibanggakan kerana mereka sentiasa bersatu
memanaskan telinga tuanpunya restoran dan telinga Pak Aji)


(Satu-satunya peminat arsenal di Pulai Chondong yang sentiasa panas telinganya)

Karekter-karekter dan suasana diatas adalah pengubat kesunyian malam Pulai Chondong. Kepada warga Pulai Chondong yang bekerja diluar negeri, suasana malam di Pulai Chondong tidaklah sebosan dan sesunyi yang disangkakan tetapi kepulangan anda akan memeriahkan lagi suasana di Pulai Chondong.

Tuesday, October 14, 2008

Corat Coret

Sudah beberapa hari saya tidak menulis didalam blog ini. Saya belum lagi mendapat masa yang sesuai untuk menulis posting yang saya fikirkan sesuai untuk blog ini. Mungkin kerana tiada idea atau terlebih idea. Terlebih idea menyebabkan kita tidak tahu idea yang mana hendak dimasukkan sebagai posting manakala tiada idea menyebabkan tiada idea!

Walaubagaimanapun saya berpendapat menulis tanpa membuat kajian dan carian fakta sebelum menulis mungkin tidak elok lagipun untuk mengelakkan daripada saya merapu kerana saya bertanggungjawab keatas apa yang saya tulis. Ingat ISA?!!

Mungkin cerita politik menjadi cerita hangat pada masa sekarang. Bagus juga tulis tentang politik tapi mungkin lain kali lagipun sudah banyak blog yang menulis tentang politik yang boleh mengenyangkan anda.

Sekarang tengah mengumpul bahan tentang masa depan Pulai Chondong dan pasukan bolasepak kampung Pulai Chondong zaman gemilang dan zaman ketandusan pemain sekarang. Kenal mana-mana Ronaldo atau Maradona pencen yang hendak masuk team Pulai Chondong?...

Saturday, October 11, 2008

Pulai Chondong Today

Pulai Chondong yang kita kenali tidak seperti dahulu. Sebelum jalanraya baru dibuka, Pulai Chondong memang menjadi tempat persinggahan orang luar Pulai Chondong untuk membeli belah dan pasar basah Pulai Chondong menjadi tumpuan. Orang sentiasa ramai dipasar sehingga lewat petang. Dulu terkenal dengan kedai rojak (razak dalam bahasa baku) dan kedai sebelah beliau. Petang2 akan ada tayangan gusti WWF (sekarang WWE) versi VCD dan orang tua akan ada bermain daun terup empat ratus (400) serta tidak pernah sunyi.

Walaubagaimanapun selepas pembukaan jalan baru di Pulai Chondong, Pekan Pulai Chondong boleh dikatakan Pekan 'Koboi' cuma tanpa kuda dan koboinya kerana orang luar jarang menggunakan jalan lama Pulai Chondong melainkan Teksi dan Bas serta Prebet sapu menyebabkan Pekan Pulai Chondong tidak sesibuk seperti dulu. Pengorbanan perlu dilakukan untuk mengelakkan kesesakan diAidilfitri menyebabkan jalanraya baru dibuka.




Beginilah jalan lama Pulai Chondong sekarang yang amat lengang sehinggakan budak2 boleh membuat wheelie dengan basikal diatas jalan tersebut sebab terlalu lengang dan jarang kereta lalu lintas.



Keadaan waktu tengahari di kampung Pulai Chondong begitu lengang dan kurang orang menyebabkan perniagaan tidak semeriah dahulu dan banyak kedai-kedai yang telah ditutup.


Dahulu ditapak ini terdapat pejabat penggawa dan balairaya disini. Selepas wakil rakyat parti PAS mengambil alih dun Pulai Chondong balai raya tersebut telah dirobohkan dan pejabat penggawa telah dipindahkan ke jalan baru. Ini sedikit sebanyak mengurangkan keinginan orang yang datang ke Pulai Chondong.

Untuk yang memegang kuasa, saya tidak tahu rasional yang digunakan atas keputusan memindahkan pejabat penggawa tersebut dan pada pendapat saya bila balairaya tersebut dirobohkan maka sepatutnya ada perancangan untuk menggantikan yang baru atau tapak tersebut digunakan untuk benda yang memanfaatkan kampung tetapi selepas 8 tahun lebih masih tiada tanda-tanda pembangunan dilaksanakan. Mungkin kompleks sukan atau tempat riadah kecil dapat dibangunkan untuk mengelakkan remaja Pulai Chondong melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.

Untuk parti yang tidak berkuasa di kampung ini, tiada tindakan proaktif untuk mengambil hati warga Pulai Chondong untuk membuat pembaharuan. Mungkin sebab takut jika buat pembaharuan dan tidak dicalonkan sebagai wakil rakyat maka hanya memperabiskan boreh (beras) sahaja. Warga Pulai Chondong amat menghargai apa yang anda buat (sekiranya ada) dan sokongan akan bertambah sekiranya kita membuat kebaikan...InsyaAllah

Saya menyeru kepada semua warga Pulai Chondong untuk melihat jauh melangkaui kuasa, pengaruh dan kepartian untuk memikirkan tentang kampung tempat tumpah darah kita ini untuk menjana pembaharuan.

Jika ada warga-warga Pulai Chondong yang mempunyai pangkat dan kuasa untuk membuat perubahan maka tolonglah kampung anda ini. Mungkin meminta sebuah bank didirikan atau meletakkan mesin autoteller dimana pelajar diasrama dapat datang mengambil duit mungkin dapat membantu. Ataupun membina sebuah kolej di Pulai Chondong pun elok juga dimana masih banyak tanah-tanah padi yang telah tidak diusahakan diambil sebagai tapak kolej.

Ini adalah satu-satunya kedai yang mempunyai ASTRO dimana saya dan kawan2 akan berkumpul pada malam sabtu untuk melihat siaran langsung bolasepak EPL. Jika remote astro anda dirumah dikontrol oleh isteri atau adik-beradik tengok drama TV3 dirumah maka silalah ke kedai ini untuk tengok bola, insyaAllah tidak kempunan malah boleh mengata (mengutuk) peminat pihak lawan tetapi sila pastikan telinga anda juga tahan panas. Kedai ini juga salah satu kedai yang menghilangkan sunyi malam di Pulai Chondong bersama pemiliknya pok cik him (gambar dibawah) yang juga peminat kelab Liverpool FC macam pak aji jugak.


Diatas adalah satu-satunya pejabat Peguam di Pulai Chondong. Benda yang didepan pejabat tersebut adalah fail-fail kontraktor yang katanya tumpang letak sebentar yang kemudiannya menjadi sampah. Dengarnya peguam pejabat tersebut telah membuat rayuan agar dokumen-dokumen tersebut dipindah tetapi pemilik dokumen masih lagi berdegil. Memandangkan pemilik dokumen tersebut mempunyai hubungan persaudaraan dengan peguam tersebut maka peguam tersebut dalam keadaan redha sahaja setakat ini walau memburukkan pemandangan.

Ditanya kenapa ribut tak ada banjir tak ada tapi buka pejabat peguam di kampung maka peguam tersebut hanya menyatakan 'saja jaga kampung' dan macam2 alasan lagilah. Walaupun apa jua alasan yang diberikan bagus juga ada sedikit perubahan di kampung kecil ini.

Pejabat peguam tersebut telah dibuka pada awal tahun 2007 oleh seorang warga Pulai Chondong juga dan masih lagi beroperasi sekarang. Diharap dapat memberi perkhidmatan yang cemerlang pada tahun-tahun yang mendatang dan para warga Pulai Chondong memberikan sokongan. Tentang perkhidmatan yang diberikan kena tanya pemilik pejabat tersebut dan jangan mengambil saranan blog ini secara membuta tuli.

Kepada pembaca posting ini, saya memohon dan menyeru sumbangan idea dan tindakan yang positif untuk memajukan kampung Pulai Chondong ini. Saya percaya ramai warga-warga Pulai Chondong yang mempunyai kuasa untuk membuat perubahan dan saya harap gunakanlah kuasa yang dianugerah tuhan tersebut untuk membuat perubahan.

Bagi saya sendiri, menulis disini adalah salah satu cara untuk mendapat perubahan dan kemajuan serta dilakukan diatas kemampuan saya. Saya harap anda juga berbuat demikian untuk membuat perubahan dan menyumbang sedikit masa anda untuk memikirkan kampung halaman anda ini juga...

Thursday, October 9, 2008

A NEW HOPE

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya,

blog ini dibangunkan bertujuan untuk menjadi penyambung berita (happening) atau pendapat dari warga kampung Pulai Chondong kepada seluruh warga Pulai Chondong dan kepada seluruh dunia amnya kepada sesiapa yang berminat. Posting yang dinyatakan didalam posting ini adalah atas kuasa dan buah fikiran pengendali blog semata-mata dan tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati.

Kepada pembaca (sekiranya ada) hendaklah mengconfirmkan sendiri apa-apa kebenaran atau fakta-fakta posting disini dan jangan ambil taqlid sahaja. Tuhan menyuruh kita berfikir, Tun Mahathir pernah menyeru supaya kita berfikir dan Nabil cakap lu fikirlah sendiri!

Blog ini tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik.

Diharap blog ini dapat membawa kebaikan dan menjauhkan keburukan. Apa-apa cadangan dan pendapat amat di alu-alukan dan diharap para pembaca (sekiranya ada) memberikan sesuatu yang membina. Apa-apa komen atau perkataan yang menjolok mata dan kesat serta tidak membina tidak akan disiarkan waimma dilayan...

sebarang kesilapan fakta atau penyataan atau perkataan amat dikesali dan didahului dengan ucapan maaf.

terima kasih dan selamat berhari raya

Dari Pakatan Harapan ke Keluarga Malaysia

Prologue Sudah lebih 11 tahun blog ni terbiar dan ianya telah melalui 2 Pilihanraya Umum dari zaman DS Najib pada 2013 dan pada 2018 Kerajaa...