Thursday, December 24, 2009

Keputusan Liga Terpilih 8 Sebelah Pulai Chondong

1. Liga 8 sebelah Pulai Chondong telah berjaya dianjurkan dengan penuh meriah walaupun diadakan dalam suasana hujan.

2. Perlawanan hanya bermula pada pukul 9 pagi terlewat satu jam disebabkan hujan tetapi pada keseluruhannya liga dapat dilaksanakan dalam waktu yang ditetapkan.

3. Pihak penganjur iaitu supermokh didalam memastikan liga berjalan dengan sempurna patut dipuji akan komitmen dan kesungguhan beliau didalam menjayakan liga ini.

4. Terdapat juga insiden-insiden yang tidak diingini dimana pertengkaran mulut dengan pengadil dan diantara pemain menunjukkan kesungguhan dan semangat para pemain.

5. Pada peringkat kumpulan, pasukan pilihan iaitu pasukan maradoha, ali karimi dan supermokh layak sebagai kelompok empat teratas dengan maradoha mengungguli peringkat kumpulan.

6. Pasukan supermokh nyaris tidak layak ke peringkat separuh akhir apabila pasukan yang dipimpin antonik valencia memerlukan satu kemenangan untuk menyingkir supermokh dari kelompok empat teratas.

7. Pada perlawanan penentuan empat teratas antara antonik dan maradoha, supermokh telah memilih untuk menjadi pengadil perlawanan dan terdapat gol kontroversi dimana penjaga gol antonik telah nampak dikasari tetapi supermokh meneruskan perlawanan menyebabkan pemain maradoha berjaya menjaringkan gol.

8. Tindakan Supermokh membenarkan gol kontroversi tersebut telah timbul spekulasi supermokh cuba menyingkirkan pasukan antonik bagi melayakkan pasukan supermokh. Lebih-lebih lagi tindakan supermokh yang hanya melihat jam ditangan tanpa menghiraukan permainan dimana tiada masa kecederaan diberikan menguatkan spekulasi tersebut.

9. Pasukan antonik cuba memprotes tetapi memandangkan supermokh adalah pengadil merangkap penganjur maka protes antonik tidak dilayan dan dibuat tidak tahu.

10. Terdapat juga kontroversi dimana samada gol telah dijaringkan atau tidak memandangkan jaring gol tidak ada semasa perlawanan antara ali karimi dan maradoha. Ini menguatkan lagi permintaan agar rakaman video digunakan bagi perlawanan bolasepak tetapi disebabkan ini adalah liga kampung dan hanya berbekalkan camera handset yang tidak digunakan kerana bateri tidak ada maka permintaan tersebut juga tidak dilayan.

11. Semasa perlawanan separuh akhir diantara pasukan ali karimi dan maradoha, telah berlaku pertengkaran diantara penjaga gol ali karimi dan penyerang tidak berbahaya maradoha. Pihak penganjur telah menunjukkan hadiah hamper tersebut kepada pemain yang bertengkar dan pertengkaran tersebut reda.

12. Ada juga waktu Supermokh selaku pengadil juga dinampak berat sebelah kepada ali karimi apabila ali karimi mengugut tidak membayar hutang kepada supermokh sekiranya dibuang padang.

13. Selain daripada insiden-insiden yang tidak diingini tersebut, liga ini dilangsungkan dengan penuh meriah dalam hujan dengan keriangan hilai tawa. Mungkin kerana peluang untuk bermain hujan memeriahkan suasana tersebut diselangi aksi pemain yang jatuh menggelongsor diatas pasir kerana licin terutama bos yidin yang berat melebihi 90kg menggelongsor perut atas tanah tanpa rumput apabila di cas keting oleh jaki tok bok.

13. Liga tersebut telah dimenangi oleh pasukan supermokh dengan sepakan penalti dengan pasukan maradoha.

14. Diharap liga ini akan kerap dianjurkan untuk semangat kesukanan dan memupuk hubungan yang lebih akrab antara pemain selain menghidupkan lagi suasana di Pulai Chondong.

15. Syabas kepada semua yang menjayakan.

Tuesday, December 15, 2009

Liga 8 Sebelah Terpilih Pulai Chondong

1. Sempena menyambut hari jumaat 18hb Disember 2009, pihak pengurusan bolasepak Kedai Pulai Chondong yang di ketuai Nik Mokhtar a.k.a supermokh akan menganjurkan pertandingan bolasepak 8 sebelah di padang bolasepak Pulai Chondong pada tarikh tersebut.

2. Pertandingan tersebut akan disertai oleh ramai bintang-bintang bolasepak Pulai Chondong diantaranya Abang Ha BKRM a.k.a maradoha, Ali a.k.a Ali Karimi, Steven Din, Jali Karan dan tarikan utama tidak lain tidak bukan Supermokh iaitu ayam untut Pulai Chondong selaku penyerang digeruni yang tak berapa hendak berlari.

3. Format pertandingan adalah 8 orang pemain setiap pasukan dengan 2 pemain simpanan. Hasil dari pemilihan pemain di padang bola maka 5 pasukan telah dapat dibentuk yang akan dimainkan secara liga kemudian terus kepada separuh akhir bagi 4 pasukan teratas dan seterusnya peringkat akhir.

4. Pemilihan pemain bagi setiap pasukan dilakukan secara undian dimana supermokh bersama 4 pemain bintang lain telah mengadakan undian memilih pemain secara adil. Walaupun ada cobaan menyorok kertas undian agar mendapat pemain terhebat namun dapat dihidu oleh pihak pengurusan.

5. Terdapat desas desus Supermokh telah menukar kertas undian untuk mendapat pemain terbaik tetapi memandangkan undian tersebut dilakukan dikhalayak ramai dan diperhatikan oleh Lan a.k.a Iker Casillan maka tuduhan liar tersebut tidak dilayan.

6. Pertandingan ini akan lebih tertumpu kepada permusuhan diantara Ali Karimi dan Supermokh, dua bintang ternama yang kedua- duanya amat dikenali kerana malas berlari mengejar bola dan menjerit memarahi orang yang tidak dapat menerima hantaran dua bintang tersebut yang jelas jauh tersasar.

7. Tujuan utama pertandingan ini diadakan selain kerana cuti sekolah ianya adalah untuk merapatkan lagi hubungan antara pemain-pemain bolasepak serta untuk memeriahkan lagi aktiviti-aktiviti di kampung.

8. Pertandingan akan bermula pada pukul 8 pagi di Padang Bolasepak Pulai Chondong. Diharap ramai akan memeriahkan lagi pertandingan ini yang menyediakan hadiah hamper yang terdiri daripada maggi dan twisties menjadi rebutan bagi tempat pertama hingga ketiga.


Wednesday, December 9, 2009

musim cuti sekolah dan royalti minyak

1. Bila tiba cuti sekolah akhir tahun memang ramai yang balik kampung. hendak pergi ke Kota Bharu pun takut trafik sesak.

2. Padang bola yang sebelum ini hanya bermain 5 sebelah sudah penuh sehingga menjadi 15 sebelah.

3. Mungkin royalti minyak yang sekiranya diperolehi oleh kerajaan negeri Kelantan dapat digunakan untuk menciptakan lagi pekerjaan.

4. tapi hasil balak juga sudah banyak diperolehi dan hasilnya hanya diperolehi oleh pihak-pihak tertentu saja.

5. Tentang isu royalti minyak, mungkin ada baiknya sekiranya kerajaan negeri mempunyai idea dan tujuan royalti tersebut akan digunakan seperti pembinaan stadium atau apa-apa projek pembangunan dan bukan hanya menyatakan untuk pembangunan secara amnya.

6. Kebimbangan bahawa royalti minyak digunakan untuk mengukuh kewangan parti pembangkang mungkin sebab utama royalti minyak ini menjadi isu.

7. Sebagai satu pendapat, mungkin jika kerajaan negeri meminta royalti minyak khusus atas suatu projek diambil dari royalti minyak dan bukan dikira hutang mungkin Kerajaan Persekutuan dapat memberikan royalti minyak tersebut.

8. Untuk mendapatkan royalti minyak tidak seharusnya hanya dengan jalan mengugut saja. Masih ada jalan lain yang boleh digunakan dan rakyat Kelantan boleh merasa hasilnya.

9. Tidak salah kerajaan negeri untuk merendah diri bagi rakyat kelantan yang mana akan menaikkan lagi saham PAS di Kelantan.

Friday, December 4, 2009

Banjir air dan banjir politik

1. Banjir makin surut tapi isu politik semasa di kelantan masih lagi belum reda.

2. Selepas isu anak menantu timbul pula doa laknat dan terbaru doa pecah perut.

3. Pentadbir Kelantan yang menjadi teraju pembangkang Malaysia sekarang diserang hebat.

4. Rakyat melayu Islam sekarang bingung dengan isu-isu yang secara tidak langsung melibatkan amalan agama.

5. Adakah mengikut amalan Rasullullah s.a.w yang memaafkan dan mendoakan hidayah keatas penduduk Taif atau mengikut amalan Nabi Musa yang mendoakan kecelakaan keatas Firaun dan konco-konconya.

6. Sekarang semua parti sibuk menjaga diri masing-masing. Ada yang menyerang dan ada yang diserang, semua kerana kuasa.

7. Tapi Rakyat sekarang siapa nak jaga?


Tuesday, May 12, 2009

Dimana Wakil Rakyat Ku

Bermula daripada tarikh 13 Mac 2008 sehingga hari ini negara Malaysia seakan-akan hanya mempunyai satu agenda iaitu kuasa politik. Walaupun banyak negara yang sekarang ini mengalami masalah ekonomi meruncing tetapi di Malaysia kemelut kuasa politik masih lagi berkumandang selepas pilihanraya. Mungkin inilah akibat daripada lemahnya sesuatu pentadbiran menyebabkan pengukuhan kuasa politik adalah perkara yang utama dan perkara/masalah yang lain adalah tidak penting atau tenggelam dari diberi perhatian. Sehingga terlupa bertanya kepada keadaan rakyat dan air muka wakil rakyat yang pernah merayu undi rakyat sekarang pun payah hendak berjumpa.

Sekarang ini pula negara sedang dilanda demam selsema pilihanraya kecil dengan situasi di Perak semakin parah sehingga situasi ekonomi negara yang tenat semakin dilupakan oleh kedua-dua barisan parti politik.

Inilah perjuangan KUASA dan bukan kerana Agama, Bangsa atau Negara. Rakyat sudah menjadi boneka kepada mereka yang rakus inginkan kuasa...


Tuesday, April 7, 2009

Mentadbir Negara Berbilang Kaum

Saya telah menanti dengan penuh debaran tentang 3 pilihanraya kecil yang mana telah selesai dengan keputusan 2 kemenangan PR dan 1 untuk BN. Apa pun keputusannya ianya hanyalah mengekalkan status quo (keadaan serupa) sebelum pilihanraya kecil berlaku.

Undi kaum bukan Melayu masih belum memihak kepada BN dan terdapat pertambahan undi Melayu kepada BN. Teknik menyuap dengan geran selama 999 tahun yang dilakukan baru-baru ini amat berkesan nampaknya.

Undi Melayu masih lagi berpecah kepada kedua-dua belah pihak dan undi bukan Melayu menjadi penentu. Apabila sebuah bangsa tidak bersatu memang ianya menjadi lemah tetapi itu satu perkara yang berbeza dan saya tidak ingin menjelaskan lanjut tentang bangsa dimana akan dikatakan perkauman tetapi jika ditimbulkan oleh bangsa lain maka ianya mungkin tidak apa.

Apa yang ditunjukkan dengan sokongan kepada apa yang di lakukan YB Dato' Nizar di Perak oleh kaum Melayu adalah bertitik tolak kepada fahaman liberal dimana hak samarata perlu diberikan kepada semua bangsa telah mula tertanam didalam masyarakat muda Melayu.

Tetapi apa yang menarik perhatian saya adalah apabila Tun Mahathir menyatakan bahawa amat payah mentadbir negara berbilang kaum dimana jika berlebih kepada sebuah masyarakat maka masyarakat yang lain akan marah dan begitulah sebaliknya.

Isu di Perak boleh saya katakan bahawa telah salah digunakan oleh BN dan telah memakan diri sendiri. Perjuangan bangsa adalah penting tetapi apabila melibatkan kepentingan berbilang kaum maka hendaklah ianya diuruskan dengan teliti.

Adalah lebih baik di tegur tentang cara pemberian tersebut dibuat daripada memainkan sentimen bangsa dan hak Melayu dimana undi kaum bukan Melayu masih dan akan tetap dikira. Cara pentadbiran yang berat sebelah juga hendaklah diambilkira dan yang paling penting adalah 'Sejarah'.

Sejarah penentangan Malayan Union adalah sebab apa dan sejarah kenapa ada tanah rizab melayu diwujudkan didalam enakmen tanah di tiap-tiap negeri di Malaysia. Fahaman liberal kalangan orang Melayu adalah bagus jika kena pada tempatnya tetapi jangan gelojoh hanya kerana untuk dikenali sebagai orang yang samarata tetapi lupa bahawa hak kita sedang di ambil orang.

Mungkin perbandingan dengan orang Melayu Singapura adalah tidak adil kerana mereka sekarang adalah minoriti tetapi contoh terdekat apabila kuasa politik ditangan orang mungkin boleh diperhatikan di negara jiran tersebut.

BN juga perlu berubah kepada yang lebih baik dan bukan menjadi golongan elitist dimana nampak jauh dari akar umbi. Bila memegang kuasa maka nampak bongkak dengan rakyat tetapi bila tiba masa mengundi baru mula menyembah rakyat sehingga lekat pasir didahi.

Pemilihan Khairy Jamaludin didalam pemilihan UMNO baru-baru ini juga amat memberi kesan buruk kepada BN keseluruhannya. Geng 304 masih lagi hidup didunia khayalan dimana projek dan duit adalah segala-galanya.

Bergembiralah kepada yang menang dan berusahalah lagi kepada yang kalah. Tiap-tiap perjuangan adalah bagus tidak kira dipihak PR atau BN.

Perjuangan belum selesai...


Sunday, January 4, 2009

Kenapa? Kenapa ianya IJN?


Didalam kekalutan dan kemarahan Umat Islam didalam pencabulan hak asasi dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin, ada pihak dalam kerajaan Malaysia yang cuba menangguk di air keruh.

Perbincangan penjualan IJN yang ditangguhkan oleh kerajaan nampaknya telah diteruskan dengan EPU telah memanggil pihak IJN dan Sime Darby untuk berbincang. Saya dan ramai lagi rakyat di Pulai Chondong, Kelantan tidak bersetuju dengan pengswastaan ini dan saya berdoa agar pemimpin Malaysia terbuka hati untuk menolak saranan pengswastaan ini lebih-lebih lagi apabila Tun Mahathir yang merupakan pengasas IJN ini secara total menolak cadangan tersebut walaupun beliau pernah suatu masa menggalakkan pengswastaan beberapa jabatan lain.

Apa yang dapat saya fikirkan sekarang ini adalah kita menghantar surat kepada Perdana Menteri Malaysia dan bakal Perdana Menteri Malaysia merayu agar menolak cadangan pengswastaan tersebut sekiranya mereka masih lagi mempunyai sekelumit hati untuk memikirkan kepada nasib rakyat.

Bagi orang Islam seperti saya, saya cadangkan agar mana-mana pembaca Islam agar meminta rakan-rakan serta imam masjid ditempat anda untuk sembahyang hajat selepas jumaat agar terbuka hati pemimpin Malaysia agar menolak cadangan tersebut bermula jumaat ini. Apabila segala usaha tidak berhasil maka hanya Allah tempat berserah.

Samaada berhasil atau tidak tindakan kita, saya tidak dapat jawab tetapi ianya lebih baik daripada kita memberontak didalam diam. Ianya sudah tiba masa kita mencari jalan positif daripada mengkritik dan bersedih sahaja.

Dari Pakatan Harapan ke Keluarga Malaysia

Prologue Sudah lebih 11 tahun blog ni terbiar dan ianya telah melalui 2 Pilihanraya Umum dari zaman DS Najib pada 2013 dan pada 2018 Kerajaa...