Thursday, November 27, 2008

UMNO Today

Sekarang isu politik yang hangat diperkatakan adalah pemilihan UMNO yang telah ditunda ke Mac 2009. Politik Wang, Shahrizat v Rafidah, Pak Lah berundur, D.S Najib akan memimpin UMNO dll.

Saya amat sedih melihat UMNO sekarang yang tergapai-gapai cuba menyelamatkan diri akibat daripada perbuatan tingkah laku pemimpin UMNO sendiri.

Samaada kita suka atau tidak, tidak dapat dinafikan bahawa UMNO selama lebih kurang 50 tahun ini adalah sinonim dengan Melayu dan kemerdekaan negara Malaysia. Kita adalah hasil kemerdekaan dan pentadbiran yang didokong oleh UMNO selama 50 tahun merdeka dan bagi kebanyakkan orang melayu yang berjaya sekarang ini tidak dapat tidak mereka terhutang budi kepada dasar ekonomi baru yang dilaksanakan oleh UMNO di negara ini.

Pesanan Lukman al-Hakim yang antara lainnya menyebut hendaklah kita ingat akan perbuatan baik orang lain kepada kita. Jasa UMNO dalam memegang pentadbiran adalah tidak dapat dinafikan bermula dari Tunku Abdul Rahman sehinggalah semasa pentadbiran Tun Mahathir dan jika kita gagal menghargai jasa tersebut maka adalah amat malang kita ini kerana dunia sendiri mengakui kepimpinan didalam UMNO lebih lagi dizaman Tun Mahathir tetapi kita sendiri yang gagal mengenali permata dihadapan mata kita.

Persoalan adakah perlu UMNO diselamatkan atau ianya hendaklah dibiarkan tenggelam arus dimana perubahan tidak dilaksanakan untuk menyelamatkannya dan matilah sebuah pertubuhan yang berasaskan perjuangan bangsa Melayu hendaklah dijawab sendiri oleh semua bangsa Melayu. Tepuk dada tanya selera.

Antara langkah yang terbaik untuk menyelamatkan UMNO adalah menarik ramai golongan intelektual untuk menerajui UMNO, bersikap nationalistik serta mempunyai visi untuk memajukan negara disamping memahami masalah dan halatuju Malaysia yang berbilang kaum.

Tun Mahathir telah cuba melaksanakan visi beliau dimana beliau mengenalpasti masalah melayu didalam buku beliau The Malay Dilemma dimana beliau cuba menaiktarafkan status ekonomi bangsa melayu setaraf dengan bangsa bukan melayu serta status negara Malaysia yang antara lain meneruskan dasar ekonomi baru. Samada Tun berjaya atau tidak, ianya untuk kita semua membuat keputusan. Kita mempunyai masa dan sejarah untuk menjadi rujukan didalam membuat pertimbangan.

Ianya amat mudah untuk mengkritik tetapi bukan mudah untuk menjadi pemimpin. Pengkritik hanya mengkritik tetapi jarang yang memberi satu cadangan atau idea yang membantu serta tidak mempunyai tanggungan atas apa yang dikritik. Seorang pemimpin selain perlu mencari idea serta membuat keputusan, beliau juga harus bertanggungjawab atas apa-apa keputusan yang beliau buat.

Saya rasa selepas pilihanraya umum mac 2008 baru-baru ini ramai yang menjadi pengkritik kerajaan dan termasuk 'yours truly' disini tetapi adakah ramai yang cuba memahami masalah negara dan memberi pandangan yang positif didalam memahami dan menyelesaikan masalah negara.

p/s: saya kecualikan pentadbiran Pak Lah daripada kejayaan UMNO kerana ianya adalah perbahasan 'non-event' dan pentadbiran serta halatuju negara serta keharmonian kaum telah rosak teruk diakibatkan oleh penasihat beliau yang mana boleh dinilai memundurkan negara dengan monopoli keluarga keatas kekayaan negara. Mungkin apa yang saya katakan ini tidak dipersetujui oleh semua orang tetapi anda sekali lagi mempunyai masa dan sejarah untuk menilai serta bahagian yang paling best adalah anda sedang melalui zaman tersebut sekarang.

Wednesday, November 26, 2008

Sistem Sosial Kampus Pengajian

Saya adalah produk pelajar daripada SMA Maahad Muhammadi (L), Pengkalan Chepa, Kelantan semasa sekolah menengah dan antara golongan anak kampung Pulai Chondong yang bernasib baik dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1999 dan menamatkan pengajian jurusan undang-undang pada tahun 2003.

Di UIAM, para pelajar telah ditempatkan asrama/tempat tinggal didalam kampus dan diwajibkan menetap di asrama yang ditetapkan. Sepanjang masa belajar di UIAM, rakan sebilik saya adalah rakan sekelas saya dalam jurusan undang-undang sehinggalah pengajian saya tamat.

Semasa berada di UIAM rakan sekolah menengah di Maahad lebih kurang 40 orang juga telah dapat melanjutkan pelajaran di UIAM dalam pelbagai jurusan bersama saya. Ini menyebabkan saya membahagi masa diantara rakan sebilik yang baru dengan rakan lama satu sekolah.

Sistem rakan sebilik dan sama jurusan adalah bagus dimana pelajar-pelajar dapat belajar bersama dalam satu bilik dan berbincang. Walaubagaimanapun untuk persediaan selepas tamat belajar dan memasuki alam pekerjaan adalah amat berbeza dan memerlukan pendekatan yang berlainan.

Apabila kita hanya sebilik dengan rakan yang sama jurusan maka rangkaian hubungan kita akan hanya terhad kepada rakan yang sama jurusan sahaja. Oleh yang demikian, peluang pekerjaan dan rangkaian hubungan adalah terhad apabila memasuki alam pekerjaan. Perkara yang sama juga berlaku apabila kebanyakkan siswa dan siswi hanya berkawan dengan rakan sekelas atau sama jurusan sahaja.

Saranan saya kepada yang masih belajar agar kembangkan rangkaian rakan anda dan bukan tertutup kepada rakan sama jurusan sahaja kerana peluang anda untuk berkembang didalam kerjaya adalah lebih meluas lagi.

Saya adalah produk daripada sistem sosial yang saya sebutkan tadi dan saya bukan menyarankan agar pembaca tidak berkawan dengan sama jurusan tetapi hanya kembangkan sahaja supaya rangkaian anda lebih meluas kerana saya juga tidak akan menukarkan rakan-rakan sama jurusan saya dengan yang lain kerana tanpa mereka juga saya mungkin tidak akan menamatkan pelajaran tanpa bantuan mereka.

Perkara yang saya katakan ini adalah subjektif dan ada kebaikan dan keburukannya. Tetapi saya rasa ianya perlu diutarakan supaya anak-anak bangsa saya akan lebih maju dan berjaya. Fikir-fikirkanlah.

Wednesday, November 19, 2008

Angin Perubahan

Ianya telah 8 bulan berlalu selepas pilihanraya 2008 selesai. Saya masih ingat pada malam keputusan pilihanraya dan pada pagi selepas pemilihan yang mana ramai orang yang saya temui bersorak gembira di kampung Pulai Chondong menyatakan angin perubahan telah berlaku, tsunami politik yang hebat mengalahkan tsunami yang menenggelamkan Acheh.

Tetapi selepas pilihanraya 2008, angin perubahan yang dibawa tidak banyak bezanya sebelum pilihanraya 2008 malah isu politik masih lagi hangat diperkatakan sehingga sekarang. Ianya menarik bagaimana disebabkan oleh kerana seorang individu, sebuah parti politik yang memperjuangkan bangsa Melayu telah mengalami kekalahan yang teruk di lima negeri dan hanya berpegang kepada dahan yang rapuh untuk mentadbir negara.

Di Kelantan, saya berani mengatakan dan sila perbetulkan saya jika saya salah bahawa tiada angin perubahan yang berlaku di Kelantan melainkan mengekal status quo sahaja.

UMNO di Kelantan boleh saya katakan ramai lagi yang mengalami sindrom politik kuno dimana mengekalkan kuasa lebih penting daripada parti. Saya mempunyai seorang kawan yang giat membuat kerja untuk belia dan beliau telah disampaikan pesan oleh seorang ahli bahagian supaya kurangkan kegiatan beliau kerana telah dianggap cuba meraih populariti yang mungkin menggugat kuasa kelompok kuasa ahli bahagian tersebut dimasa akan datang.

inilah akibatnya apabila ramai ahli intelektual yang meninggalkan parti UMNO dan Ahli intelektual yang tinggal amat sedikit bersikap nationalis.

Jangan hairan jika saya katakan bahawa ada ketua Pemuda UMNO bahagian (saya tekankan bahagian dan bukan cawangan) di Kelantan yang baru dipilih hanya berkelulusan SPM dan ini menunjukkan ketandusan pemimpin muda didalam UMNO di Kelantan. Saya bukan ingin prejudis kepada Pemimpin Pemuda tersebut atau taraf pendidikan beliau. Cuma pada pandangan saya seorang pemimpin perlu mempunyai pengetahuan yang luas serta moral yang baik untuk membawa perubahan dan halatuju sebuah pertubuhan.

Anda mungkin tidak setuju dengan pendapat saya tetapi dalam pandangan saya, kita hanya membicarakan atau memberi halatuju kepada sesebuah masyarakat mengikut pengetahuan yang kita ada. Seorang ketua kampung yang tidak pernah keluar daripada kampung tidak dapat memberitahu jalan atau peluang yang ada di bandar sebab pengetahuan dia hanya tertakluk di kampung sahaja. Inilah pengetahuan yang saya maksudkan. Jika pemimpin berpengetahuan cetek maka ilmu dan halatuju yang beliau curahkan adalah cetek juga.

Mempunyai moral yang baik adalah antara lainnya apabila seseorang pemimpin meletakkan kepentingan bangsa dan rakyat mendahului kepentingan peribadi.

Golongan pengundi muda akan bertambah dari tahun ke setahun dan perlunya Pemimpin golongan muda yang berkaliber adalah perlu untuk mencari jalan dan rancangan yang jitu untuk menarik golongan muda tersebut. Dan tidak dapat tidak kelayakan atau intelektual pemimpin akan memainkan peranan untuk menarik golongan muda tersebut.

Saya berani mengatakan bahawa negara kini memerlukan Pemimpin yang hebat yang mana hendaklah setaraf Tun Mahathir untuk negara Malaysia menjadi lebih maju dan makmur. Selama 22 tahun Tun Mahathir mentadbir, Melayu khususnya dan Malaysia amnya telah maju dengan cepat sekali sehingga pernah digelar harimau asia tenggara. Seseorang itu perlu menolak sejarah sekiranya apa yang saya katakan adalah tidak benar.

Mungkin apa yang saya nyatakan adalah salah dan tidak benar sama sekali dan pengetahuan dan moral yang mulia di kalangan pemimpin adalah tidak penting kerana sekiranya ianya benar kenapakah pemimpin sedemikian telah di pilih. Anda putuskan.

Tuesday, November 4, 2008

Corat Coret

Berhati-hati di Jalanraya

Di Pulai Chondong, ada beberapa jalan yang perlu anda berhati-hati dan beringat apabila melaluinya. Saya sempat mengambil gambar jalan-jalan tersebut dan diharap pengguna jalanraya berhati-hati apabila melalui jalanraya tersebut.



Jalan simpang tiga ke Kemubu boleh dikatakan setiap tahun berlaku kemalangan dan yang terbaru adalah kemalangan maut pada bulan puasa 2008.


Ini pula jalan simpang empat ke kuari Bukit Buluh, kemalangan juga sering berlaku boleh dikatakan setiap tahun disimpang ini.

Satu lagi jalan yang perlu anda berhati-hati adalah sepanjang jalan Bukit Cina/ Kem Desa Kok Lanas yang mana walaupun mempunyai 4 laluan (4 lane) namun kemalangan sering juga berlaku. Agak pelik juga bahawa kemalangan sering berlaku dijalan-jalan tersebut yang boleh dikatakan bukannya selekohnya merbahaya tetapi saya tidak ingin mempercayai benda-benda khurafat cuma diharap sesiapa yang membaca blog ini berhati-hati membawa kereta/motor apabila melalui jalan-jalan ini.

Nyawa anda adalah berharga dan percaya atau tidak secara peribadi saya menghargai anda semua sebagai warga Malaysia dan sekiranya perlu berilah peringatan kepada kenalan-kenalan anda yang lain.

Dari Pakatan Harapan ke Keluarga Malaysia

Prologue Sudah lebih 11 tahun blog ni terbiar dan ianya telah melalui 2 Pilihanraya Umum dari zaman DS Najib pada 2013 dan pada 2018 Kerajaa...