Saturday, July 17, 2010

Harga Barang Naik Atau Subsidi Turun

1. Kerajaan pimpinan DS Najib telah mengumumkan keputusan yang tidak popular dengan menaikkan beberapa harga barang-barang keperluan dan minyak.

2. Bagi saya yang duduk dikampung dan bercampur gaul dengan masyarakat kampung hanya boleh mendengar keluhan rakyat di akar umbi mengeluh tentang kenaikan harga barang.

3. Lebih-lebih lagi, para petani agak terdesak apabila tanaman padi tidak menjadi pada awal tahun ini disebabkan kemarau yang panjang. Sumber pencarian sudah mengecil sedangkan keperluan dan harga barang semakin membesar.

4. Saya secara emosinya tidak bersetuju dengan kenaikan harga barang tersebut tetapi secara rasionalnya mungkin PM telah berfikir masak-masak sebelum kenaikan harga barang diumumkan kerana ini adalah keputusan yang paling tidak popular boleh dibuat oleh PM sedang UMNO/BN dibelenggu kemelut ditolak rakyat.

5. Walaubagaimanapun kita perlu akur bahawa harga barang akan tetap naik dan para peniaga sendiri tidak boleh menjamin yang harga barang mereka akan kekal seperti sediakala untuk 100 tahun lagi bila ekonomi dunia semakin tenat dan harga barang mentah juga naik.

6. Masalah yang dihadapi DS Najib adalah dia mewarisi kerajaan yang lemah dan kewangan serta ekonomi yang tenat daripada Pak Lah. Untuk mengekalkan subsidi kepada rakyat, ekonomi serta kewangan Malaysia hendaklah kukuh. Kita hendaklah mempunyai wang yang lebih untuk dibelanjakan kerana subsidi tidak akan memberi pulangan balik kepada kerajaan melainkan 'menyedekah' wang kepada rakyat.

7. Zaman pemerintahan Pak Lah dipenuhi dengan gantirugi dan 'side deal' yang mementingkan kroni. Berapa ratus juta telah di belanjakan untuk membayar gantirugi 'scenic bridge' selain membatalkan kebanyakkan projek yang dimulakan di zaman Tun M dan gantirugi lain tanpa alasan munasabah.

8. Semuanya adalah pembaziran yang tidak sepatutnya terjadi dan akibatnya rakyat terpaksa mengikat perut menggalas kesalahan kerajaan terdahulu sedangkan elaun menteri tidak pernah berkurangan. Inilah antara sebab kehilangan wang yang sepatutnya menjadi subsidi kepada rakyat.

9. Pengurangan subsidi ini boleh ditangani dengan bijak sekiranya Kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat dimana pemimpin-pemimpin akar umbi berjalan bertemu dengan rakyat dan bertanya khabar akan kehidupan mereka terutama petani-petani. Disitu langkah boleh diambil oleh pemimpin dengan bantuan kewangan sekiranya tanaman petani-petani tidak menjadi dengan ini beban kenaikan harga barang akan dapat dikurangkan.

10. Saya juga diberitahu bahawa ramai kontraktor bumiputra yang tenat sekarang ini dimana sehingga pertengahan tahun ini, projek-projek kerajaan tidak banyak yang dikeluarkan. Penjimatan yang terpaksa dibuat bagi menghadapi pilihanraya. Tetapi sekiranya pembaziran tidak berlaku maka masih banyak projek dapat diperturunkan kepada kontraktor untuk sepanjang tahun ini.

11. Saya masih lagi ragu-ragu sekiranya pembangkang juga mempunyai formula yang ajaib untuk menurunkan atau mengekalkan harga barang melainkan dengan menjejaskan lagi kewangan negara untuk memberi subsidi kepada rakyat.

12. Dijangkakan akan ada lagi keputusan kerajaan yang tidak popular pada masa terdekat ini dalam usaha DS Najib mengimbangi kehendak rakyat dan survival negara dengan apa yang dia perolehi daripada pemimpin terdahulu.

Wassalam.


- Posted using BlogPress from my iPad

No comments:

Dari Pakatan Harapan ke Keluarga Malaysia

Prologue Sudah lebih 11 tahun blog ni terbiar dan ianya telah melalui 2 Pilihanraya Umum dari zaman DS Najib pada 2013 dan pada 2018 Kerajaa...