Tuesday, April 7, 2009

Mentadbir Negara Berbilang Kaum

Saya telah menanti dengan penuh debaran tentang 3 pilihanraya kecil yang mana telah selesai dengan keputusan 2 kemenangan PR dan 1 untuk BN. Apa pun keputusannya ianya hanyalah mengekalkan status quo (keadaan serupa) sebelum pilihanraya kecil berlaku.

Undi kaum bukan Melayu masih belum memihak kepada BN dan terdapat pertambahan undi Melayu kepada BN. Teknik menyuap dengan geran selama 999 tahun yang dilakukan baru-baru ini amat berkesan nampaknya.

Undi Melayu masih lagi berpecah kepada kedua-dua belah pihak dan undi bukan Melayu menjadi penentu. Apabila sebuah bangsa tidak bersatu memang ianya menjadi lemah tetapi itu satu perkara yang berbeza dan saya tidak ingin menjelaskan lanjut tentang bangsa dimana akan dikatakan perkauman tetapi jika ditimbulkan oleh bangsa lain maka ianya mungkin tidak apa.

Apa yang ditunjukkan dengan sokongan kepada apa yang di lakukan YB Dato' Nizar di Perak oleh kaum Melayu adalah bertitik tolak kepada fahaman liberal dimana hak samarata perlu diberikan kepada semua bangsa telah mula tertanam didalam masyarakat muda Melayu.

Tetapi apa yang menarik perhatian saya adalah apabila Tun Mahathir menyatakan bahawa amat payah mentadbir negara berbilang kaum dimana jika berlebih kepada sebuah masyarakat maka masyarakat yang lain akan marah dan begitulah sebaliknya.

Isu di Perak boleh saya katakan bahawa telah salah digunakan oleh BN dan telah memakan diri sendiri. Perjuangan bangsa adalah penting tetapi apabila melibatkan kepentingan berbilang kaum maka hendaklah ianya diuruskan dengan teliti.

Adalah lebih baik di tegur tentang cara pemberian tersebut dibuat daripada memainkan sentimen bangsa dan hak Melayu dimana undi kaum bukan Melayu masih dan akan tetap dikira. Cara pentadbiran yang berat sebelah juga hendaklah diambilkira dan yang paling penting adalah 'Sejarah'.

Sejarah penentangan Malayan Union adalah sebab apa dan sejarah kenapa ada tanah rizab melayu diwujudkan didalam enakmen tanah di tiap-tiap negeri di Malaysia. Fahaman liberal kalangan orang Melayu adalah bagus jika kena pada tempatnya tetapi jangan gelojoh hanya kerana untuk dikenali sebagai orang yang samarata tetapi lupa bahawa hak kita sedang di ambil orang.

Mungkin perbandingan dengan orang Melayu Singapura adalah tidak adil kerana mereka sekarang adalah minoriti tetapi contoh terdekat apabila kuasa politik ditangan orang mungkin boleh diperhatikan di negara jiran tersebut.

BN juga perlu berubah kepada yang lebih baik dan bukan menjadi golongan elitist dimana nampak jauh dari akar umbi. Bila memegang kuasa maka nampak bongkak dengan rakyat tetapi bila tiba masa mengundi baru mula menyembah rakyat sehingga lekat pasir didahi.

Pemilihan Khairy Jamaludin didalam pemilihan UMNO baru-baru ini juga amat memberi kesan buruk kepada BN keseluruhannya. Geng 304 masih lagi hidup didunia khayalan dimana projek dan duit adalah segala-galanya.

Bergembiralah kepada yang menang dan berusahalah lagi kepada yang kalah. Tiap-tiap perjuangan adalah bagus tidak kira dipihak PR atau BN.

Perjuangan belum selesai...


Dari Pakatan Harapan ke Keluarga Malaysia

Prologue Sudah lebih 11 tahun blog ni terbiar dan ianya telah melalui 2 Pilihanraya Umum dari zaman DS Najib pada 2013 dan pada 2018 Kerajaa...